SEBANYAK 130 kes Covid-19 baru dalam masyarakat dilaporkan pada tengah hari Rabu (28 Julai), termasuk 48 kes yang tidak berkait.
Kes baru itu termasuk 27 kes yang berkait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong, menjadikan jumlah 929 kes dalam kelompok itu.
Sebanyak dua kes baru yang dikaitkan dengan kelompok KTV turut dilaporkan, menjadikan jumlah 247 kes dalam kelompok itu.
Daripada 130 kes dalam masyarakat itu, 61 berkait dengan kes terdahulu dan telah pun dikuarantin, manakala lagi 21 kes berkait dikesan melalui pengawasan, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Jangkitan yang tidak berkait sebanyak 48 kes dan melibatkan tiga warga emas berusia lebih 70 tahun yang belum divaksin atau baru menerima satu dos vaksin, dan berisiko mengalami penyakit serius.
Sebanyak enam kes yang diimport turut disahkan pada Rabu, dan mereka telah dikenakan notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura, tambah MOH.
Dua daripada mereka dikesan sebaik tiba di Singapura, manakala lagi empat mengalami Covid-19 semasa SHN atau pengasingan.
Jumlah kes di Singapura kini 64,589.