KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) mengesahkan 1,457 kes jangkitan Covid-19 baru pada Rabu (22 September).
Dalam kenyataannya, MOH turut mendedahkan terdapat tiga kes kematian warga Singapura kerana komplikasi Covid-19, menjadikan angka kematian di negara ini mencecah 68 kes sejak pandemik bermula tahun lalu.
Sebelum ini, jumlah kes Covid-19 baru tertinggi yang dicatat adalah 1,426 kes pada 20 April tahun lalu.
Daripada 1,457 kes baru yang dikenal pasti pada Rabu, 1,277 kes merupakan dalam kalangan masyarakat manakala 176 kes melibatkan penghuni dormitori. Baki empat kes adalah kes import.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai kes kematian yang dilaporkan, MOH berkata kes pertama melibatkan lelaki 65 tahun yang diuji positif Covid-19 pada 1 September dan meninggal pada 22 September.
Lelaki yang belum menjalani vaksinasi ini mempunyai sejarah penyakit kencing manis, kerosakan ginjal tahap akhir dan darah tinggi.
Kes kedua pula adalah wanita 90 tahun yang meninggal pada 21 September. Beliau dikesan mempunyai jangkitan Covid-19 pada 13 September dan telah mendapatkan suntikan lengkap vaksin Covid-19.
Wanita ini mempunyai sejarah strok, semput, darah tinggi dan kolestrol tinggi dalam darah di samping usia lanjutnya membuatnya lebih terdedah pada penyakit teruk apabila dijangkiti.
Kes kematian ketiga pula melibatkan lelaki 50 tahun yang meninggal pada 21 September. Beliau diuji positif Covid-19 pada 13 September dan belum menjalani vaksinasi. Beliau tidak mempunyai sebarang rekod kondisi perubatan sebelum ini.
Dengan tiga kes kematian ini, 68 orang keseluruhannya meninggal di Singapura kerana komplikasi Covid-19 sejak pandemik bermula tahun lalu.
Sejak dua bulan lalu pula, 31 kes kematian dilaporkan, hampir separuh daripada keseluruhan angka kematian kerana Covid-19 di Singapura.
MOH menambah, terdapat 1,083 pesakit Covid-19 di hospital kini. Jumlahnya berkurangan daripada 1,109 kes pada hari sebelumnya.
Terdapat 145 kes penyakit serius yang memerlukan sokongan oksigen. Dalam pada itu, terdapat 19 kes dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi (ICU). Jumlahnya bertambah berbanding 17 kes pada Selasa.
Dalam kalangan mereka yang jatuh sakit, 134 daripadanya adalah warga emas berusia melebihi 60 tahun.
Sejak pandemik bermula tahun lalu, jumlah keseluruhan jangkitan di Singapura mencecah 81,356 kes.