Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

Covid-19: 15 kes baru, dua dalam masyarakat

Sep 29, 2020 | 05:30 AM

LAGI 15 kes jangkitan Covid-19 telah disahkan sehingga tengahari semalam, menjadikan jumlah kes keseluruhan di Singapura 57,715.

Ini termasuk dua kes baru dalam masyarakat yang kededuanya merupakan pemegang pas kerja, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya.

Enam daripada kes baru pula merupakan kes import yang kesemuanya telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) setibanya di Singapura.

Kelmarin, dua daripada lima kes import baru Covid-19, yang diumumkan MOH, melibatkan penduduk tetap. Baki tiga kes melibatkan pemilik permit kerja.

Penduduk tetap berkenaan tiba di Singapura dari India pada 15 September dan Jumaat lalu.

Ketiga-tiga pemegang permit kerja pula kini bertugas di Singapura dan tiba di sini pada 15 September.

Salah seorang daripada mereka tiba dari Indonesia manakala dua lagi dari Filipina, kata MOH.

Kesemuanya dikenakan SHN selama 14 hari setibanya di Singapura, dan diuji semasa menjalani tempoh notis mereka di pusat pengasingan yang ditetapkan.

Sebanyak 15 kes baru koronavirus disahkan kelmarin, dengan tiada kes baru dalam masyarakat yang dilaporkan.

Pekerja asing yang menginap di dormitori membentuk 10 pesakit baru koronavirus yang lain.

Tiada kelompok jangkitan baru dan lokasi baru yang dikunjungi pesakit Covid-19 ketika berjangkit dilaporkan kelmarin.

Jumlah kes baru dalam masyarakat kekal stabil pada purata kurang satu kes setiap hari dalam tempoh dua minggu lalu.

Jumlah kes yang tidak berkait dalam masyarakat juga kekal stabil pada purata kurang satu kes setiap hari dalam tempoh yang sama.

Dengan lapan kes dibenarkan pulang dari hospital kelmarin, seramai 57,352 pesakit telah sembuh sepenuhnya dari penyakit itu.

Singapura telah mencatat 27 kematian akibat komplikasi Covid-19, sementara 15 yang diuji positif di sini meninggal dunia akibat sebab lain.

Jumlah kematian sedunia berpunca dari koronavirus melepasi angka sejuta kelmarin.

Lebih 33 juta orang di dunia telah dijangkiti Covid-19, yang mula menular dari China kurang setahun yang lalu.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian