KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) mengesahkan 1,504 kes jangkitan Covid-19 baru sehingga 12 tengah hari Khamis.
Dari sejumlah itu, 1,218 kes merupakan kes masyarakat manakala 273 kes pula melibatkan penghuni dormitori. 13 kes pula adalah kes import.
Jumlah kes harian ini adalah yang tertinggi dilaporkan di Singapura. Pada Rabu, jumlah kes yang disahkan adalah 1,457 kes. Sebelum ini, jumlah kes Covid-19 baru tertinggi dicatat adalah 1,426 kes pada 20 April tahun lalu.
Dalam kenyataannya pada Khamis malam, MOH turut mendedahkan kematian dua wanita Singapura, berusia 93 tahun dan 71 tahun, kerana komplikasi jangkitan Covid-19 pada Khamis.
Menurut MOH, wanita pertama diuji positif Covid-19 pada 17 September. Beliau belum menjalani vaksinasi dan mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kolestrol dalam darah.
Wanita kedua, tambah MOH, didapati positif Covid-19 pada 23 September. Beliau juga belum divaksin dan mempunyai sejarah penyakit barah.
Keseluruhannya, 70 orang telah meninggal dunia di Singapura kerana jangkitan Covid-19 sejak pandemik ini bermula tahun lalu.
Sehingga 12 tengah hari Khamis, 1,120 kes masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan baik dan dipantau. Terdapat 163 kes serius yang memerlukan sokongan oksigen manakala 23 kes dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi (ICU). Dalam kalangan mereka yang sakit serius, 155 orang merupakan warga emas berusia melebihi 60 tahun.
MOH juga menyenaraikan beberapa kelompok besar yang aktif dan dipantau rapi. Ini termasuk pusat prasekolah Maple Bear di Orchard Road dengan 12 kes (8 pelajar, 3 kakitangan dan 1 anggota isi rumah); dormitori di Bukit Batok Road/Plantation Crescent dengan 23 kes (jangkitan intradormitori) dan Dormitori Tampines dengan 26 kes (jangkitan intradormitori).