Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Covid-19: 2 kelompok baru di CGH, Henderson Crescent; kakitangan SGH antara 20 kes baru

Jun 25, 2021 | 11:19 PM



DUA kelompok baru jangkitan Covid-19 di Hospital Besar Changi (CGH) dan Henderson Crescent dikenal pasti Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (25 Jun).



Kelompok CGH dengan tiga kes terbentuk selepas seorang 'porter' (pengangkat barangan) dikenal pasti sebagai kes koronavirus pada Khamis. Dua kes yang berkaitan dengannya melibatkan dua 'porter' berusia 67 tahun dan 72 tahun. Mereka berdua adalah rakan sekerjanya di CGH.



Lelaki pertama tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan dan menjalani ujian Covid-19 sebagai sebahagian proses ujian pengawasan bagi kakitangan  CGH. Kes ini sudah menerima suntikan vaksin pertama pada 11 Jun.



Lelaki kedua pula mengalami selesema pada 16 Jun tetapi tidak mendapatkan rawatan perubatan. Beliau juga dikesan menerusi ujian pengawasan kakitangan CGH. Dua suntikan vaksin pada 18 Mac dan 8 April sudah diterimanya.



Sementara itu, kelompok Blok 105 Henderson Crescent mempunyai 10 kes yang berkaitan dengan pesara 67 tahun yang dikenal pasti positif Covid-19 pada 17 Jun, tambah MOH.



Kes lain melibatkan pesara 70 tahun, eksekutif kewangan ST Engineering berusia 40 tahun, warga Filipina berusia 45 tahun yang bertugas sebagai spesialis penyenggaraan di Air Liquide, pekerja pengiriman Grab dan Foodpanda berusia 32 tahun, pengurus operasi Green Mart SG berusia 32 tahun dan pengurus Meinhardt Group berusia 45 tahun.



Pada Jumaat, 20 kes Covid-19 baru dikenal pasti. MOH menjelaskan terdapat 12 kes masyarakat yang berkait dengan kes sebelum ini. Ini termasuk dua kes baru berkait dengan kelompok Pasar dan Pusat Makanan Bukit Merah View, menjadikan jumlah kes dalam kelompok ini mencecah 87 kes kini.



Terdapat tiga kes masyarakat tiada kaitan dengan kes sebelum ini. 



Mereka terdiri daripada spesialis peralatan di Hospital Besar Singapura (SGH) yang berusia 32 tahun, pekerja pembersihan warga Malaysia berusia 31 tahun yang bertugas bersama syarikat Fourways Pte Ltd dan dikerahkan ke Prince George's Park Residence, Universiti Nasional Singapura (NUS) serta pesara 84 tahun yang dikejarkan ke SGH pada 24 Jun bagi penyakit lain.



Lima kes import turut dilaporkan. Mereka terdiri daripada dua waga Singapura dan dua Penduduk Tetap Singapura yang pulang dari India, Indonesia dan United Kingdom serta seorang lagi pemegang permit kerja dari Filipina.



Sementara itu, MOH sedang menyiasat berbilang kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan individu yang menetap, bekerja atau mengunjungi daerah Bukit Merah dan Redhill. Bagi menghentikan penularan jangkitan dalam masyarakat yang tidak dikesan, MOH telah mengendalikan operasi ujian khas buat individu yang terjejas di samping menguji contoh air buangan di kawasan itu.



Sebagai langkah tambahan mengekang wabak ini dan membantu mengesan kes, MOH bekerjasama dengan Persatuan Rakyat (PA) untuk mengusahakan agar penduduk di blok tertentu dalam daerah itu mendapatkan kit ujian pantas antigen (ART) antara 26 hingga 27 Jun di Pusat Jawatankuasa Penduduk (RC) terdekat. 



Penduduk yang layak sangat digalakkan untuk mengambil kit tersebut dan menjalankan ujian ke atas diri mereka sendiri. Mereka boleh merujuk pada laman beralamat https://www.gowhere.gov.sg/art bagi meninjau kelayakan mereka dan lokasi Pusat RC yang boleh dikunjungi.



Dalam satu kenyataan berasingan pada Jumaat, MOH berkata, ujian wajib akan dikendalikan ke atas penduduk di Blok 66, Eng Watt Street di kejiranan Tiong Baru.



Ini diperlukan sedang pihak berkuasa menyiasat kemungkinan wujudnya penularan jangkitan Covid-19 di Eng Watt Street, dengan 13 kes jangkitan Covid-19 dikesan di tiga isi rumah Blok 66 sejauh ini.



Sebanyak 10 daripada 13 kes ini berkait dengan kelompok Ecoxplore dan satu kes pula dengan Pasar dan Pusat Makanan Bukit Merah View.



Baki dua kes melibatkan adik-beradik, seorang menuntut di SIM Global Education dan seorang lagi di Sekolah Anglo Chinese (Bebas).



Semua penduduk Blok 66 perlu menjalani ujian swab di pavilion Blok 2D Boon Tiong Road pada Sabtu dan Ahad antara 9 pagi dengan 4 petang, tambah MOH. Ujian pula tidak wajib dan mengikut pilihan individu yang sudah diuji negatif Covid-19 dari 22 Jun hingga tarikh selepas itu.



Bagi mengesan kes masyarakat yang tidak menampakkan tanda jangkitan, MOH juga akan mengendalikan ujian sukarela bagi pengunjung dan mereka yang berinteraksi dengan penduduk Blok 66 Eng Watt Street antara 8 hingga 22 Jun.



Ujian akan dikendalikan hanya dengan janji temu dibuat di pusat pemeriksaan serantau yang khusus antara Sabtu hingga Ahad dari 9 pagi hingga 4 petang. Mereka yang ingin membuat janji temu mereka atau mendapatkan maklumat mengenai lokasi ujian gantian boleh lungsuri laman beralamat https://go.gov.sg/66-ew-covid-19-testing  atau hubungi  1800-333-9999.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >