LIMA kakitangan restoran Pizza Hut adalah antara 24 kes jangkitan Covid-19 baru dalam kalangan masyarakat yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin (24 Mei).
Dalam kenyataannya, MOH mengesahkan lima kes ini berkaitan dengan kelompok kes pekerja pengiriman McDonald's cawangan Bedok Reservoir yang juga pekerja pengiriman IVIC Logistic Pte Ltd yang dikenal pasti sebelum ini.
Terdapat 10 kes kini dalam kelompok tersebut, jelas MOH.
Lima kes yang baru dikesan terdiri daripada:
1) Lelaki warga Malaysia berusia 31 tahun yang bertugas sebagai pengirim makanan Pizza Hut di cawangan Punggol Plaza. Beliau adalah kontak rapat pekerja pengiriman McDonald's (Bedok Reservoir) dan seorang lagi pekerja pengiriman McDonald's (Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias).
2. Lelaki warga Malaysia berusia 34 tahun yang bertugas sebagai pekerja pengirim makanan Pizza Hut (Havelock II). Beliau kontak kes sebelum ini.
3. Remaja Singapura berusia 15 tahun yang menuntut di Sekolah Menengah Peicai. Dia bekerja sambilan di Pizza Hut (Punggol Plaza) sebagai kru dapur.
4. Remaja Singapura berusia 18 tahun yang bekerja sambilan di Pizza Hut (Punggol Plaza) sebagai kru dapur. Beliau juga kakitangan pengiriman sambilan bersama Grab dan Deliveroo. Beliau sudah mendapat suntikan vaksin pertama pada 11 Mei.
5. Remaja Singapura berusia 16 tahun yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Greendale. Dia petugas sambilan di Pizza Hut (Punggol Plaza).