SEORANG lelaki berusia 80 tahun meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan Covid-19 pada Jumaat (10 September).
Beliau menampakkan tanda jangkitan pada 4 September dan diuji positif dengan virus tersebut pada 9 September setelah dimasukkan ke Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Warga emas ini baru menerima satu suntikan vaksin, mempunyai sejarah penyakit kencing manis, masalah jantung, darah tinggi dan kolestrol tinggi dalam darah.
Dengan kes ini dilaporkan, terdapat 58 individu yang meninggal kerana kesulitan berpunca daripada jangkitan Covid-19, jelas Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada Jumaat.
Sehingga 12 tengah hari Jumaat, terdapat 573 kes jangkitan Covid-19 dikenal pasti. Kes ini terdiri daripada 568 kes masyarakat dan lima kes import. Dalam kalangan kes masyarakat ini, 127 kes adalah warga emas berusia melebihi 60 tahun.
MOH juga sedang memantau beberapa kelompok secara terperinci iaitu kelompok tempat kerja di Hu Lee Impex (pengedar borong buah-buahan dan sayur-sayuran segar) yang mempunyai 31 kes kini; tapak binaan Sunview Way dengan 69 kes; limbungan kapal Sembcorp Marine Tuas Boulevard Yard (55 kes); Hospital Besar Changi (64 kes); Bugis Junction (308 kes); pekerja Pusat Tukaran Bas Toa Payoh (203 kes); pekerja Pusat Tukaran Bas Tampines (55 kes); pekerja Pusat Tukaran Bas Boon Lay (165 kes); pekerja Pusat Tukaran Bas Bishan (38 kes) dan pekerja Pusat Tukaran Bas Clementi (53 kes).
Sebanyak 689 kes pula masih dirawat di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan. Terdapat 25 kes memerlukan sokongan oksigen manakala enam kes dalam keadaan tenat di Unit Jagaan Rapi (ICU). Dalam kalangan mereka yang jatuh sakit, 27 daripadanya adalah warga emas melebihi 60 tahun.