KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) mengesahkan 92 kes jangkitan Covid-19 baru dalam kalangan masyarakat pada Rabu (4 Ogos).
Daripada jumlah itu, 54 kes dikaitkan dengan kes sebelum ini dan sudah dikuarantin manakala lagi lapan kes tidak dikuarantin ketika dikesan.
Baki 30 kes merupakan kes baru tiada kaitan, jelas MOH dalam kenyataannya.
Salah satu daripada kes masyarakat ini melibatkan seorang warga emas berusia lebih 70 tahun yang belum menjalani vaksinasi dan berdepan dengan risiko menghidap penyakit serius.
Terdapat tiga kes import yang sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura, jelas MOH.
Salah satu kes ini dikesan setibanya di Singapura manakala lagi dua kes pula diuji positif bagi virus berkenaan sewaktu SHN atau ketika diasingkan.
Sehingga tengah hari Rabu, jumlah kes di Singapura mencecah 65,410 kes sejak pandemik bermula tahun lalu.