Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Covid-19: Bakal pengantin perempuan dari Filipina antara 29 kes import baru

Setempat
27
0

Covid-19: Bakal pengantin perempuan dari Filipina antara 29 kes import baru

Feb 01, 2021 | 12:31 AM

SEORANG wanita 31 tahun yang tiba ke Singapura dari Filipina bagi melangsungkan perkahwinannya dengan tunangnya, seorang warga Singapura, adalah antara 29 kes import jangkitan Covid-19 yang dikenal pasti pada Ahad (31 Januari).

Beliau adalah antara lima pemegang pas lawatan jangka pendek yang disahkan positif Covid-19 setibanya di sini. Baki empat kes import merupakan pelajar dari India yang datang ke sini untuk meneruskan pengajian serta tiga lagi dari India, Myanmar dan Indonesia yang melawat anggota keluarga warga negara atau Penduduk Tetap (PR) Singapura.

Menjelaskan demikian dalam satu kenyataan Ahad malam, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata seorang warga Singapura dan tiga PR Singapura yang tiba dari India dan United Kingdom turut dikenal pasti sebagai kes import baru.

Salah seorang daripada PR ini merupakan lelaki berusia 36 tahun yang kembali dari lawatan ke India pada 19 Disember 2020. Beliau menjalani tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di sebuah kemudahan khusus hingga 2 Januari 2021.

Ujian swab yang dijalani pada 31 Disember dalam tempoh SHN didapati negatif Covid-19. Beliau tidak menampakkan tanda jangkitan dan dikesan positif Covid-19 ketika mengambil ujian prakeberangkatan Covid-19 pada 29 Januari sebagai persiapan untuk satu lagi lawatan ke India.

Keesokan harinya, hasil ujiannya didapati positif Covid-19. Beliau digegaskan ke Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID). Nilai kitaran ambangnya (cycle threshold) sangat tinggi, menandakan muatan virus rendah manakala ujian serologi yang dijalani juga positif Covid-19, menandakan kemungkinan wujud jangkitan sebelum ini.

MOH menambah, memandangkan kemungkinan ada jangkitan sebelum ini, kes ini dianggap kes import berdasarkan sejarah perjalanannya. Beliau kemungkinan akan meluputkan cebisan virus RNA yang tidak lagi mampu menjangkiti orang lain.

Selain itu, antara 29 kes import baru ini merupakan pemegang pas tanggungan dari Nigeria. Satu lagi kes adalah pemegang pas lawatan jangka panjang dari Nigeria. Satu kes melibatkan pemegang pas pelajar dari India.

Empat kes lain pula merupakan pemegang pas kerja dari India, Myanmar, Pakistan dan Amiriah Arab Bersatu (UAE). 

Seramai 13 pemegang permit kerja dari Bangladesh, India, Indonesia dan Myanmar juga disahkan positif Covid-19. Enam daripada mereka adalah pembantu rumah asing.

Lagi 32 kes pula sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. 

Sebanyak 44 kes pula masih dirawat di hospital dalam keadaan mantap atau kian pulih.

 

 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3