PANDEMIK Covid-19 menyediakan syarikat di seluruh dunia bidang baru bagi pertumbuhan, walaupun ia menimbulkan cabaran dan gangguan sejak dua tahun lalu.
Ini dinyatakan pemimpin perniagaan dalam satu perbincangan panel mengenai transformasi digital bagi syarikat kecil dan sederhana (SME) semalam, dengan beberapa daripada mereka menonjolkan peluang baru bagi firma berhubung pendigitalan operasi semasa pandemik ini.
Perbincangan itu, dikendalikan oleh editor bersekutu The Straits Times, Encik Vikram Khanna, sebahagian daripada Forum Perniagaan Indonesia-Singapura yang diadakan di Hotel Hilton Singapore Orchard.
Dianjurkan oleh Kedutaan Indonesia di sini dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Indonesia, acara itu menyaksikan lebih 300 hadirin mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai topik seperti penjagaan kesihatan, transformasi digital dan kemampanan.
Encik Gang Ye, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan firma Internet pengguna Sea Group, berkata penyebaran koronavirus telah memberi impak besar kepada e-dagang dan menggalak SME memanfaatkan teknologi untuk menjangkau pengguna yang berada lebih jauh.
Ketua Eksekutif firma e-dagang Blibli.com, Encik Kusumo Martanto, menyatakan pengguna menggunakan platform e-dagang untuk mendapatkan keperluan harian mereka daripada SME dan syarikat besar, apabila orang ramai terpaksa tinggal di rumah untuk mengelakkan Covid-19 daripada merebak.
"Semasa wabak, bagaimana orang mendapatkan sanitiser, pelitup, ubat-ubatan - di situlah kita memainkan peranan besar," katanya.
Ahli panel juga menyentuh tentang peri penting syarikat mendakap huraian teknologi baru, yang dilakukan sesetengah pihak semasa permintaan berkurangan akibat pandemik itu.
Encik George Hendrata, Ketua Pegawai Eksekutif platform pelancongan Tiket.com, menyebut mengenai beberapa tarikan pelancongan seperti taman bertema menerima bantuan untuk menerima huraian digital.
Platformnya berfungsi menjadikan aplikasinya lebih mudah diterima pakai oleh pedagang, supaya mereka boleh belajar cara menggunakannya dengan lebih baik dan menjangkau pengguna dengan lebih berkesan.
Tetapi Encik Hendrata menambah bahawa lebih banyak latihan pekerja diperlukan untuk merealisasikan lagi potensi pendigitalan.
Encik Fock Wai Hong, Timbalan Ketua Teknologi dan Pengguna bagi Temasek, turut menekankan pentingnya latihan dan peningkatan kemahiran.
Beliau, yang juga Timbalan Ketua Asia Tenggara bagi Temasek, mengongsi dapatan tinjauan terbaru yang dilakukan oleh Temasek bersama Google.
Tinjauan itu mendapati bakat terus menjadi penghalang utama kepada pertumbuhan teknologi.
"Ini benar-benar satu cabaran untuk kita semua... ia benar-benar fokus pada mendapatkan semula kemahiran dan meningkatkan kemahiran populasi pekerja sedang kita (bersiap sedia) untuk mengambil bahagian dalam ekonomi Internet."