LAGI 10 pekerja di Lapangan Terbang Changi telah diuji positif bagi Covid-19.
Ini selepas hampir 19,000 pekerja di sana menjalani ujian dalam satu operasi khas.
Ujian itu dijalankan selepas kelompok kes Covid-19 timbul di Lapangan Terbang Changi.
Ini bermakna sejumlah 43 pekerja lapangan terbang telah diuji positif bagi Covid-19 pada masa ini, kata Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) dalam kenyataan bersama semalam.
Baki 33 pekerja yang dijangkiti Covid-19 dikesan menerusi kaedah lain, seperti semasa menjalani kuarantin atau ujian yang dijadualkan.
CAAS dan CAG mengumumkan angka terkini itu sedang jumlah kes yang dikaitkan dengan kelompok di lapangan terbang itu bertambah, dengan 100 kes sehingga kelmarin.
Dalam kenyataannya, mereka berkata hasil ujian bagi kumpulan pertama pekerja lapangan terbang yang diuji positif bagi Covid-19 menunjukkan mereka dijangkiti varian serupa iaitu varian B1617, yang memungkinkan jangkitan mereka berasal daripada sumber yang sama.
Siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menyentuh langkah tambahan yang diambil di lapangan terbang, CAG dan CAAS berkata sejak kelmarin, pekerja di Terminal 3 Besmen 2 yang diuji negatif bagi Covid19 dalam ujian pertama telah dijadual menjalani ujian Covid-19 susulan.
Selain itu, penumpang dari tempat-tempat yang disifatkan sebagai berisiko tinggi kini perlu menjalani Ujian Antigen Pantas (ART) setibanya di sini, selain ujian reaksi rantai polimerase (PCR) yang ditetapkan.
Mulai esok, pekerja di lapangan terbang yang menyandang jawatan dianggap lebih berisiko juga akan dikenakan ujian tambahan ART, antara ujian rutin yang dijadualkan dalam tempoh tujuh hari, kata CAG dan CAAS.
Semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) melaporkan 30 kes Covid-19 baru dalam masyarakat, termasuk lapan yang tiada kaitan.
Terdapat 10 kes import, menjadikan keseluruhan 40 kes baru. Jumlah kes Singapura kini 61,770.
COVID-19 DI S'PURA - 21 MEI
JUMLAH KES BARU: 40
DALAM MASYARAKAT: 30
(Tiada kaitan: 8
(Kaitan kes awal: 22)
DIIMPORT: 10
DI DORMITORI: 0
JUMLAH KEMATIAN: 32
JUMLAH KES KESELURUHAN: 61,770
(Hingga 12 tengah hari semalam)
- Laporan terkini kes Covid-19 setempat di www.BH.sg