JUMLAH kes Covid-19 dalam kelompok di lapan pusat tukaran bas kini mencecah sebanyak 314 kes dengan 29 kes baru dilaporkan.
Daripada jumlah ini, sembilan jangkitan dikaitkan dengan kelompok melibatkan kakitangan Pusat Tukaran Bas Boon Lay yang kini mempunyai 66 kes, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada Rabu (1 September).
Kelompok melibatkan kakitangan Pusat Tukaran Bas Toa Payoh pula bertambah hingga 93 kes dengan lapan lagi kes jangkitan dikesan, tambah MOH.
Baki kelompok pusat tukaran bas di Tampines, Jurong East, Bishan, Punggol dan Clementi pula bertambah antara satu hingga empat kes setiap kelompok.
Tiada kes baru dikesan dalam kelompok Pusat Tukaran Bas Sengkang.
Dalam pada itu, kelompok Bugis Junction pula mempunyai sembilan kes baru, menjadikan keseluruhan jumlah kes jangkitan mencecah 233 kes kini.
Kelompok Institut Kesihatan Mental (IMH) pula mempunyai enam kes baru, menjadikan jumlah keseluruhan dalam kelompok itu kini mencecah 14 kes keseluruhannya sejak diumumkan sebagai sebuah kelompok pada Isnin.
Menurut MOH, terdapat 68 kelompok aktif kini dengan setiap satu mempunyai antara tiga hingga 1,155 kes jangkitan.
MOH melaporkan 177 kes Covid-19 baru dalam kalangan masyarakat pada Rabu, jumlah tertinggi sejak 21 Julai apabila 179 kes dilaporkan.
Terdapat 90 kes tiada kaitan, yang tertinggi dilaporkan sejauh ini.
Dalam kalangan kes baru itu, 54 kes berkait dengan kes terdahulu dan sudah dikuarantin manakala lagi 33 kes berkaitan pula dikesan menerusi pemantauan.
Terdapat kes seorang warga emas berusia melebihi 70 tahun yang baru menerima satu suntikan vaksin dan berisiko mengalami penyakit serius.
MOH menambah, terdapat tiga kes import yang sudah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura. Kesemua kes ini dikesan mempunyai jangkitan virus itu sewaktu diasingkan atau ketika menjalani SHN.
Secara keseluruhannya, terdapat 180 kes Covid-19 baru di Singapura pada Rabu, menjadikan jumlah kes di negara ini mencecah 67,800 kes sejak pandemik ini bermula tahun lalu.
Sejumlah 499 pesakit masih dirawat di hospital. Terdapat 22 pesakit yang memerlukan sokongan oksigen dengan lima lagi berada dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi (ICU).
Dalam kalangan mereka yang jatuh sakit, 18 kes merupakan warga emas melebihi usia 60 tahun. Sembilan daripadanya belum mendapatkan suntikan vaksin atau baru menerima satu suntikan.
Jumlah kes masyarakat pula bertambah daripada 335 kes dua minggu lalu kepada 845 kes minggu lalu. Bilangan kes tiada kaitan juga bertambah daripada 112 kes dua minggu lalu kepada 253 kes minggu lalu.
Secara keseluruhannya, 80 peratus penduduk Singapura telah menerima dua suntikan vaksin manakala 83 peratus pula menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin.