KADAR penggunaan menyeluruh Unit Jagaan Rapi (ICU) telah merosot pada paras rendah 62 peratus pada Rabu (17 September) berbanding 63.3 peratus pada Selasa, dedah Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya.
MOH menambah terdapat 3,474 kes Covid-19 baru yang dilaporkan di Singapura pada Rabu. Ia meningkat daripada 2,069 kes sehari sebelumnya.
Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan Covid-19 pula adalah 0.89, naik daripada 0.88 pada Selasa.
Kadar pertumbuhan jangkitan ini berada di paras bawah 1 untuk lima hari berturut-turut.
Angka ini merujuk pada nisbah kes masyarakat bagi minggu sudah mengatasi minggu sebelumnya. Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang konsisten di bawah 1 menunjukkan bilangan kes Covid-19 mingguan merosot.
Dalam pada itu, tujuh kes berusia antara 47 dengan 83 tahun meninggal kerana komplikasi berkaitan Covid-19. Kesemuanya mempunyai kondisi perubatan.
Sejak pandemik ini bermula tahun lalu, jumlah kematian kerana komplikasi Covid-19 di Singapura mencecah 619 kes.
Dalam kalangan kes baru pada Rabu, 3,320 kes merupakan dalam kalangan masyarakat, 144 kes di dormitori pekerja migran dan 10 kes pula adalah kes import.
Sebanyak 506 kes masyarakat terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Jumlah kes baru yang dilaporkan di Singapura sejak pandemik bermula tahun lalu adalah 244,815 kes.