Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Setempat

Covid-19: NCID lakukan ujian bagi ketahui kadar jangkitan masyarakat

May 23, 2020 | 09:27 AM

SATU ujian besar-besaran sedang dijalankan untuk mengetahui kadar sebenar jangkitan Covid-19 di kalangan masyarakat di sini. 

Ribuan orang sedang menjalani ujian setelah berhubungan dekat dengan pesakit positif, untuk memastikan mereka tidak dijangkiti.

Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) sedang menghubungi mereka yang pernah dikuarantin sejak usaha pengesanan kontak bermula pada Januari lalu hingga 4 April.

Tujuannya adalah untuk menentukan kadar jangkitan dan untuk menilai risiko pendedahan di antara kenalan rapat pesakit Covid-19, sama ada mereka berada di rumah, di tempat kerja atau di persekitaran sosial. 

Kadar jangkitan ini juga akan membolehkan NCID membuat penganggaran dengan lebih baik jumlah kes yang tidak didiagnosis di antara kenalan rapat.

Profesor Madya Ng Oon Tek, seorang perunding kanan NCID, berkata semua peserta dalam kajian ini sudahpun menjalani perintah kuarantin mereka.

Sejauh ini, NCID telah menghampiri sekitar 2,500 mereka yang duduk serumah dan 1,800 kenalan sosial pesakit. Mereka menyasarkan untuk menghubungi sekitar 3,000 kenalan sosial dan 2,300 kenalan kerja secara keseluruhan.

Secara keseluruhan, NCID telah mengenal pasti 1,100 kenalan yang sesuai dan setuju untuk mengambil bahagian dalam kajian ini. Ia berharap dapat mendaftarkan 2,000 individu untuk kajian ini, dan hasil daripada ujian itu akan disediakan dalam masa dua bulan.

Kajian ini merupakan salah satu daripada tiga kajian yang dijalankan NCID.