Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Covid-19: Pelaut Ukraine meninggal; 10 kelompok jangkitan baru dikesan

Aug 03, 2021 | 12:33 AM



SEORANG pelaut dengan jangkitan Covid-19 meninggal kerana komplikasi virus tersebut pada Ahad (1 Ogos), kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada Isnin (2 Ogos) malam.



Kes tersebut merupakan seorang lelaki Ukraine berusia 34 tahun. Pelaut ini mendarat di Singapura dengan menaiki kapal pada 29 Julai.



Beliau demam, mengalami batuk dan keletihan pada 25 Julai serta payah bernafas pada 31 Julai. Lelaki ini kemudian dipindahkan dari kapal itu ke Hospital Besar Singapura (SGH) pada 1 Ogos dan disahkan dijangkiti Covid-19 pada hari yang sama.



Kes terkini ini menjadikan jumlah kes kematian berpunca dari Covid-19 di sini mencecah 38 kes keseluruhannya.



MOH turut mengesahkan pembentukan 10 kelompok jangkitan Covid-19 pada Isnin yang kesemuanya berkait dengan kes sebelum ini.



Jumlah kelompok aktif kini ialah 93 dengan setiap satu mempunyai antara tiga hingga 1,072 kes jangkitan.



Sementara itu, terdapat 36 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen, tambahan daripada 35 pesakit sebelum ini.



Bilangan yang tenat di Unit Jagaan Rapi (ICU) pula berkurangan dari lapan kepada tujuh kes.



Dalam kalangan 43 kes yang berpenyakit serius, empat daripadanya sudah menjalani vaksinasi penuh. Daripada kes yang sudah divaksinasi, tiga memerlukan sokongan oksigen manakala seorang pula di ICU kerana memiliki keadaan kesihatan lain di sebalik jangkitan itu, tambah MOH.



Keseluruhannya, terdapat 106 kes masyarakat yang dilaporkan pada Isnin termasuk 24 kes berkaitan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong.



Ini menjadikan jumlah kes dalam kelompok terbuka terbesar itu mencecah 1,072 kes kini.



Dalam kalangan kes masyarakat ini, 16 daripadanya berkaitan dengan kes sebelum ini dan dikesan menerusi pemantauan manakala 25 kes tiada kaitan.



Baki 65 kes pula berkaitan dengan kes terdahulu dan sudah dikuarantin.



MOH juga menambah terdapat lima kes import yang sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura.



Bilangan kes di Singapura sejak pandemik ini melanda tahun lalu ialah 65,213 kes.



Sehingga Ahad, 62 peratus penduduk Singapura telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 di bawah program vaksinasi nasional manakala 77 peratus pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.



Secara menyeluruh, 7,638,279 dos suntikan vaksin Covid-19 telah ditadbir di bawah program vaksinasi nasional, meliputi 4,313,182 individu.



Seramai 3,448,193 orang pula telah tamat rejim vaksnasi penuh.



Sebagai tambahan, 107,730 dos vaksin Sinovac telah ditadbir sehingga Sabtu, meliputi 74,935 orang.



MOH berkata 602 kes Covid-19 kini dirawat di hospital dengan kebanyakan daripada mereka berada dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan.



Seramai 31 warga emas berusia lebih 60 tahun dengan 28 orang daripada mereka belum menjalani vaksinasi atau baru menerima satu suntikan sahaja jatuh sakit.



Dalam satu kenyataan berasingan, MOH, dalam pada itu, turut menjelaskan pada Isnin, bahawa ia telah tamat menjalankan ujian Covid-19 buat penduduk di Blok 556, Ang Mo Kio Avenue 10. Seramai 532 individu menjalani ujian tersebut.



Sejauh ini, 520 individu didapati negatif Covid-19 manakala 11 orang pula positif dengan virus tersebut manakala seorang lagi menanti hasil ujiannya.



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >