PEMANDU kargo dari Malaysia serta pekerja yang menemani mereka yang telah mengambil kedua-dua dos vaksin Covid-19 di Singapura akan menerima sijil imunisasi dan akan dikecualikan daripada ujian ketibaan harian 14 hari setelah menerima dos kedua mereka.
Demikian diumumkan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Para pemandu akan menerima SMS mengesahkan bahawa mereka telah selesai proses vaksinasi serta sijil imunisasi tersebut, lapor The Straits Times.
"Namun, mereka mungkin terus diuji di pusat-pusat pemeriksaan darat Singapura dari semasa ke semasa," kata MTI.
Pada 8 Mac lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa pemandu kenderaan kargo terpilih dan kakitangan yang menemani mereka yang kerap masuk Singapura dari Malaysia akan ditawarkan vaksinasi Covid-19.
Ini akan mengurangkan risiko penularan daripada pekerja yang membawa masuk barang-barang keperluan.
MTI berkata ia akan memilih pemandu kargo dan kakitangan yang menemani mereka berdasarkan kekerapan perjalanan keluar masuk mereka antara Singapura dengan Malaysia.
Mereka yang masih belum divaksinasi di Singapura masih boleh masuk ke negara ini, namun tertakluk pada langkah kesihatan yang diadakan termasuk ujian ketibaan.
Sejak 22 Januari lalu, ujian pantas wajib telah dikuat kuasa bagi semua pemandu kenderaan komersial serta kakitangan yang menemani mereka masuk ke Singapura di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.
Tanpa mengira status vaksinasi, semua pemandu dan pekerja itu masih perlu mengikuti langkah-langkah pengurusan selamat semasa bekerja di sini.
Ini termasuk menggunakan SafeEntry dan mengambil suhu badan sebelum memasuki lokasi penghantaran, dan memerhatikan jarak selamat sepanjang masa termasuk semasa pemunggahan dan pengiriman kargo, kata MTI.