Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

Covid-19 satukan 3 jururawat dari poliklinik berbeza

Jun 05, 2020 | 05:30 AM

DARIPADA tidak mengenali satu sama lain, mereka kini sahabat yang saling memberi sokongan.

Cik Siti Rasyidah Gozali, 37 tahun; Cik Sa'adiah Ramlee, 37 tahun dan Cik Shaynaz Parveen Rahman Shariff, 44 tahun masing-masing berkhidmat di poliklinik berbeza di bawah Poliklinik Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHGP).

Namun apabila mereka dikerah untuk berkhidmat di kemudahan pengasingan dan swab sejak lebih sebulan lalu, mereka menjadi tunggak sokongan satu sama lain sambil berjuang menyediakan penjagaan kesihatan buat pekerja asing di kemudahan tersebut.

"Apabila saya diberitahu saya akan dikerah ke kemudahan ini, saya rasa amat bangga diberi kepercayaan menjalankan tugas ini pada saat yang amat memerlukan sekarang.

"Saya yakin dengan protokol kawalan jangkitan yang betul," kata Cik Sa'adiah yang berkhidmat di Poliklinik Ang Mo Kio.

Ketiga-tiga jururawat itu antara lain bertanggungjawab menjalankan ujian saringan dan swab terhadap pesakit selain menjaga pekerja asing yang ditempatkan di kemudahan itu selepas menjalani ujian swab.

Namun bukan itu sahaja kerana menurut Cik Siti Rasyidah, mereka turut membuat penilaian bagi sebarang penyakit kronik yang mungkin dihidap pekerja asing itu.

"Kami menyediakan jagaan yang menyeluruh, bukan sahaja berkaitan Covid-19.

"Kebanyakan mereka mengalami tekanan darah tinggi manakala ada juga yang menghidap kencing manis, semput atau isu keresahan," ujar ibu dua anak berusia enam dan tujuh tahun itu yang berkhidmat di Poliklinik Hougang.

Menurut Cik Shaynaz, beliau juga tersentuh dengan penghargaan yang ditunjukkan pekerja asing kepada kakitangan penjagaan kesihatan yang bertugas di kemudahan itu.

"Kata-kata semangat yang mereka berikan... walaupun dalam keadaan mereka yang susah sekarang mendorong saya untuk terus berkhidmat," ujar ibu dua anak berumur 15 dan 17 tahun itu yang berkhidmat di Poliklinik Toa Payoh.

Cik Shaynaz yang juga boleh bertutur bahasa Hindi, Urdu, Tamil dan Punjabi selain Inggeris, Melayu, Mandarin dan Hokkien, turut membantu dengan penterjemahan bagi doktor dan pekerja asing di kemudahan tersebut.

Tugas yang dijalankan Cik Siti Rasyidah, Cik Sa'adiah dan Cik Shaynaz di kemudahan itu berbeza daripada tugas mereka di poliklinik masing-masing.

Di kemudahan itu, mereka perlu banyak berdiri dan pakaian mereka basah kuyup kerana berpeluh akibat memakai Alat Perlindungan Peribadi (PPE).

Mereka juga harus sentiasa bersedia menerima pesakit yang kadangkala datang dalam jumlah yang besar.

Ini lebih-lebih lagi mencabar semasa mereka berpuasa Ramadan lalu.

Bagi ketiga-tiga jururawat ini, sokongan padu daripada keluarga tercinta terus membakar semangat mereka untuk berbakti.

Cik Sa'adiah, seorang ibu dua anak yang berumur lapan dan 12 tahun, misalnya berkata suaminya akan bangun lebih awal daripada biasa untuk menghantarnya ke tempat kerjanya di bahagian timur Singapura setiap hari.

Bagi Cik Shaynaz pula, suaminya membantu dengan kerja rumah supaya beliau dapat berehat secukupnya selepas membersihkan diri dan mencuci pakaiannya sejurus pulang dari kerja.

Majikannya juga sentiasa memberinya galakan, dengan pengurus jururawat yang kerap menghubunginya menerusi WhatsApp untuk bertanya khabar.

Meskipun mencabar, usaha memerangi Covid-19 ini berterusan bagi Cik Siti Rasyidah, Cik Sa'adiah, Cik Shaynaz serta ramai lagi karyawan penjagaan kesihatan, buat satu tempoh yang tidak pasti berapa lama, walaupun Singapura memasuki fasa pertama pembukaan semula ekonomi selepas tamat tempoh pemutus rantaian jangkitan baru-baru ini.

Harapan mereka adalah agar orang ramai dapat kekal berjaga-jaga dan terus mematuhi langkah untuk memastikan keselamatan mereka.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian