KOTA Singapura berkemungkinan akan menyambut tahun baru dalam cuaca sejuk dan basah, dengan lonjakan musim monsun yang dijangka membawa hujan antara semalam dan beberapa hari pertama Januari.
Jabatan Meteorologi Malaysia, menukil analisis oleh beberapa model cuaca, berkata di lamannya bahawa lonjakan monsun diramalkan berterusan sehingga Isnin depan.
Lonjakan musim monsun ini adalah fenomena cuaca yang membawa udara sejuk dan ribut petir ke Singapura.
Secara purata, Singapura mengalami antara dua dan empat lonjakan monsun setiap tahun, seringnya berlaku antara bulan Disember dan Mac, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan di laman webnya.
Beberapa bulan ini, Singapura mengalami musim monsun timur laut, apabila angin tiup terutama dari utara.
Tempoh ini juga seiring dengan bulan-bulan musim sejuk di hemisfera utara, di mana udara di dataran Asia utara seperti Siberia, berada dalam keadaan sejuk dan kering.
Lonjakan monsun berlaku apabila terdapat peningkatan mendadak dalam kelajuan angin yang menyebabkan udara sejuk melonjak dan ditiup ke arah selatan, ke Laut China Selatan.
Apabila udara sejuk bergerak ke selatan, ia memanaskan dan menjadi lembap, mengakibatkan awan hujan tebal terbentuk di kawasan khatulistiwa, termasuk di Singapura.
"Setiap kejadian boleh bertahan antara satu dan lima hari di mana hujan sederhana hingga lebat berterusan secara meluas, menjejas seluruh pulau.
"Kadang-kadang ia juga akan menunjukkan cuaca yang mendung," tambah MSS.
Pada Januari 2018, lonjakan monsun di Singapura mengakibatkan cuaca sejuk selama lima hari - rekod paling lama selama sedekad - dengan suhu antara 21 dan 22 darjah celsius, berbanding suhu purata tahunan di Singapura pada tahun itu daripada 27.9 darjah celsius.