Cukai gula?, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:55
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Suatu Ketika di Singapura
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

Cukai gula?

Jun 23, 2018 | 05:30 AM

Singapura mengisytihar 'perang' terhadap kencing manis dua tahun lalu, dan kini mengambil langkah untuk mempergiat usaha tersebut. Seramai 400,000 orang menghidapi penyakit itu di Singapura dan jumlah itu boleh meningkat kepada satu juta menjelang 2050. Beberapa langkah yang sedang diteroka termasuk mengenakan cukai gula bagi produk minuman manis dan menyediakan air kosong di tempat seperti bangunan awam dan dalam acara pemerintah. Apakah keberkesanan langkah seperti itu? Ikuti laporan NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg). Penghasil minuman ringan terus berusaha kurangkan gula

BEBERAPA penghasil minuman ringan berkata mereka telah mencapai kemajuan dalam usaha mengurangkan kandungan gula dalam produk mereka.

Ini sejak mereka berikrar tahun lalu untuk memastikan tahap maksimum kandungan gula sebanyak 12 peratus bagi minuman yang dijual di Singapura menjelang 2020.

Pengurus Besar Coca-Cola Singapura, Malaysia, Brunei dan Kemboja, Encik Tony Del Rosario, berkata syarikat itu dijadual memenuhi komitmennya.

Syarikat itu telah membuat komitmen tambahan mengurangkan kandungan gula dalam produknya pada sebanyak 10 peratus menjelang 2020.

Halal Home Based Business
SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

Savour The Flavour by Chef Im

Savour The Flavour ingin menyajikan makanan yang berkualiti...

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

"Mengurangkan gula dalam makanan dan minuman adalah isu yang semakin penting bagi ramai orang di Singapura, dan ramai rakyat Singapura memberitahu kami mereka mahu minuman yang rasa sedap tetapi mempunyai kurang gula dan kurang kalori.

"Sejak membuat ikrar (tahun lalu), kami telah berinovasi untuk melancarkan lebih banyak minuman kurang gula dan tiada gula dan telah memikir semula beberapa resipi kami di Singapura untuk mengurangkan gula," kata Encik Del Rosaria, sebagai menjawab pertanyaan Berita Harian (BH).

Satu laporan oleh badan tidak mencari keuntungan, Food Industry Asia, yang keluar pada 21 Jun lalu mendapati 80 peratus syarikat penghasil makanan dan minuman di Singapura telah pun mengubah formula produk mereka untuk menjadi lebih sihat, manakala 16 peratus lagi merancang berbuat demikian.

PepsiCo memberitahu BH ia mengambil langkah meluaskan portfolio minuman kalori rendah, menyediakan label yang jelas serta mematuhi dasar pemasaran yang bertanggungjawab.

Pokka pula berkata ia akan mencapai sasaran memastikan semua produknya mengandungi kurang 12 peratus gula menjelang hujung tahun ini, lebih awal daripada yang dijadual pada 2020.

Baru-baru ini, Nestle Singapore juga telah memperkenalkan produk yang diperbaharui kandungannya - Milo Gao Kosong, yang mengekalkan rasa semula jadi bijirin dan susu tanpa tambahan gula.

Tahun lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata Pasukan Petugas Pencegahan dan Penjagaan Kencing Manis bekerjasama dengan tujuh syarikat penghasil minuman ringan bagi mengurangkan tahap gula dalam produk mereka dalam usaha memerangi penyakit kencing manis di Singapura.

Tujuh syarikat itu ialah Coca-Cola, F&N Foods, Malaysia Dairy Industries, Nestle, PepsiCo, Pokka dan Yeo Hiap Seng.

Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan awal minggu ini bahawa pemerintah meneroka langkah memperkenalkan 'cukai gula' ke atas minuman manis untuk mencegah orang ramai daripada membeli minuman tersebut.

Satu lagi langkah yang disebut sebelum ini ialah sekatan pengiklanan.

Mengulas tentang langkah ini, Coca-Cola berkata ia akur isu kencing manis dan kegemukan adalah isu penting dan "kami mempunyai tanggungjawab bersama membantu rakyat Singapura mengurangkan kalori dan gula".

"Kami percaya, bagaimanapun, terdapat cara lebih berkesan lain untuk mengatasi kencing manis dan kegemukan daripada cukai atau sekatan iklan yang hanya menyasarkan minuman," kata Encik Del Rosario.

PepsiCo berkata ia "tidak percaya bahawa cukai yang mendiskriminasi satu-satunya kategori produk akan berjaya mencapai matlamat kesihatan awam".

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pokka, Encik Alain Ong, berkata:

"Jika cukai gula dilaksanakan, ia harus diselaraskan ke atas seluruh pasaran bagi pelbagai produk seperti manisan dan pencuci mulut dan sebagainya, tidak hanya minuman sahaja."

Pakar ekonomi Dr Walter Theseira daripada Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) berkata kepada BH sebelum ini cukai gula boleh meningkatkan harga minuman manis dan mengurangkan pembeliannya, tetapi ia belum tentu akan mengurangkan masalah kencing manis atau kegemukan kerana pengguna boleh beralih daripada minuman itu kepada makanan lain.


CUKAI GULA DI NEGARA LAIN

MEXICO

Ia meluluskan cukai 1 peso Mexico ($0.08) seliter ke atas semua minuman ringan pada 2013.
Ekoran langkah itu, satu kajian di Mexico dan Amerika Syarikat mendapati pembelian minuman manis merosot 5.5 peratus, diikuti kemerosotan 9.7 peratus pada tahun keduanya.
Bagaimanapun, kesannya ke atas kesihatan belum dikaji.

DENMARK

Cukai minuman ringan Denmark wujud sejak tahun 1930-an, dikurangkan kepada separuh pada 2013 sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada tahun berikutnya.
Denmark sebelum ini mengenakan cukai 1.64 Denmark krone ($0.35) seliter minuman ringan.
Cukai itu membantu pemerintah meraih pendapatan sekitar 450 juta krone setiap tahun, tetapi ia juga menyebabkan kerugian tahunan sekitar 290 juta krone disebabkan jualan minuman ringan haram dan rakyat yang melawat negara jiran seperti Sweden dan Jerman untuk membeli soda lebih murah.

BRUNEI

Cukai minuman ringan Brunei, yang berkuatkuasa dari April tahun lalu, mengenakan bayaran sebanyak 4 dolar Brunei ($4) setiap 10 liter minuman dengan kandungan gula sebanyak 6 gram (atau lebih) setiap 100 mililiter.
Ini bermakna tin minuman ringan boleh berharga 13 sen lebih berbanding minuman biasa.

HUNGARY

Cukai produk kesihatan awam, yang diperkenalkan pada 2011, mengenakan cukai bukan sahaja kepada minuman bergula, bahkan minuman tenaga, minuman arak, snek asin, buah-buahan diawet dan produk manisan yang dibungkus.
Jumlah cukai yang dibayar ditentukan oleh unit (kilogram atau liter) produk yang dibeli atau dijual.

PERANCIS

Cukai yang disasarkan kepada minuman manis telah dilaksanakan pada tahun 2012, dengan levi sebanyak €0.72 ($1.10) seliter.
Ini menjadikan minuman ringan sekitar 3.5 peratus lebih mahal di negara ini.
Satu laporan bagi Suruhanjaya Kesatuan Eropah pada tahun 2016 mendapati cukai itu menyebabkan kemerosotan pengambilan minuman ringan tahunan sekitar 3 hingga 3.5 liter setiap orang.

BRITAIN

Pada 2016, pemerintah Britain berkata ia akan memperkenalkan Cukai Industri Minuman Ringan pada April 2018.
Ini akan melibatkan penghasilan dan pengimportan minuman ringan dengan gula tambahan.
Kadar cukainya ialah 18 pence ($0.32) setiap liter bagi minuman bergula dengan kandungan gula lima gram atau lebih setiap 100 mililiter (ml), dan 24 pence bagi minuman 8 gram atau lebih setiap 100ml.

Sumber: The Straits Times

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map