Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KEPUTUSAN GCE PERINGKAT 'A'

Curah bakti kepada masyarakat dengan ilmu yang ada

Feb 23, 2022 | 05:30 AM



SEDANG ramai pelajar yang mungkin tidak begitu endahkan bahasa Melayu, bekas pelajar Institusi Raffles, Afeef Ikhwan Mohammad Ariffin pula menganggap sebaliknya.



Malah sepanjang wawancara bersama beliau, anak muda berusia 18 tahun ini bersungguh-sungguh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan cuba sedaya-upaya mencari perkataan Melayu yang sesuai dan tepat untuk menjawab soalan yang diajukan.



"Mata pelajaran bahasa Melayu ini berbeza dan istimewa berbanding subjek lain. Ia lebih mementingkan tradisi serta memberi tumpuan terhadap budaya dan bukan sahaja sekadar bahasa sahaja.



"Ia juga mempunyai komponen kemanusiaan berbanding dengan subjek seperti Matematik, misalnya," katanya bangga.



Maka itu, tidak hairanlah jika anak sulung empat beradik ini merupakan penerima Biasiswa Elektif Bahasa Melayu dan juga pelajar Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP).



Atas minat mendalamnya juga, pelajar yang bercita-cita menjadi penterjemah ini turut menghasilkan esei akademik di bawah pementoran fakulti Universiti Nasional Singapura (NUS).



Beliau telah menulis mengenai tokoh bahasa, Profesor Abdullah Hassan dari Malaysia.



Ini merupakan usahanya di bawah Penyelidikan Kemanusiaan dan Sains Sosial bagi peringkat H3.



Semalam, Afeef merupakan antara 11,070 calon yang telah menerima keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'A' mereka.



Dan beliau boleh berbangga kerana atas usahanya bagi peringkat H3, Afeef meraih gred Cemerlang (Distinction).



Beliau turut meraih gred A bagi dua subjek yang diambilnya di peringkat H1 iaitu Kertas Am dan Matematik.



Lebih daripada bidang akademik, anak kepada juruteknik dan guru sambilan ini, yang turut aktif dalam kelab kewartawanan sekolahnya juga, gemar menyumbang kembali kepada masyarakat.



Beliau telah menghabiskan masanya dengan memberikan tuisyen secara percuma kepada keluarga kurang berkemampuan menerusi Program Tuisyen Heartware.



Sebagai ketua tenaga pengajar juga, beliau telah menyelia tenaga pengajar pelajar lain dalam penyampaian pembelajaran dan memperkenalkan penggunaan alat pembelajaran digital bagi mendekati pelajar apabila sesi beralih ke dalam talian akibat Covid-19.



"Cikgu saya pernah berpesan, ilmu yang kita raih jika hanya disimpan buat diri sendiri, adalah sia-sia sahaja.



"Adalah lebih baik untuk mengongsi ilmu itu kepada orang lain terutama jika ia mendatangkan manfaat kepada orang yang amat memerlukannya," ujarnya.



Seorang lagi temannya, Aadil Jamari, juga dari sekolah yang sama, turut mahu membuat perubahan positif kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.



Aadil, yang meraih 6 gred A dan 1 gred B, telah mengetuai pasukannya untuk menulis dan menerbitkan dua buku kanak-kanak daripada perspektif kanak-kanak pekerja asing, dengan dana daripada Inisiatif Masyarakat Raffles.



Buku itu telahpun didermakan kepada Lembaga Perpustakaan Nasional (NLB) dan kesemua sekolah rendah.



"Saya mahu memupuk rasa empati dan belas kasihan dalam kalangan belia terhadap pekerja asing di sini.



"Kami mahu meningkatkan kesedaran rakyat Singapura tentang kesukaran yang dihadapi pekerja asing di Singapura dan keluarga mereka di negara masing-masing," katanya.



Kata-kata daripada timbalan pengetua sekolahnya, Cik Ng Mei Sze, juga mendorong Aadil untuk terus meningkatkan kesedaran menerusi buku.



"Katanya, kita tidak akan pernah tahu kesan buku yang kita hasilkan. Tetapi jika seorang anak muda yang sedang menghadapi cabaran hidup dapat mengatasinya dengan membaca buku kita, makanya tanpa disedari, kita telah memperkasa seseorang dan membuat perubahan," tambah Aadil lagi.



Beliau dan rakan-rakan kini yang sedang dalam usaha melahirkan buku ketiga mereka berjudul "My Grandfather's Unfinished Story", yang mengisahkan pengalaman keluarga yang hidup dengan orang yang mereka sayang dan menghidapi demensia.




"Adalah lebih baik untuk mengongsi ilmu itu kepada orang lain terutama jika ia mendatangkan manfaat kepada orang yang amat memerlukannya."
- Afeef Ikhwan Mohammad Ariffin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >