Subuh
5:30
Syuruk
6:53
Zuhur
12:55
Asar
4:19
Maghrib
6:56
Isyak
8:10
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Setempat0

BERITA

Cuti sekolah boleh cuba 'Singapore-liday'

Pakej perkhemahan glamor Kampong G(e)lamping tawaran Lembaga Warisan Negara dan Taman Warisan Melayu pada cuti sekolah Disember dapat sambutan hangat
Oct 24, 2020 | 05:30 AM

PAKEJ penginapan perkhemahan unik glamping di Taman Warisan Melayu (TWM) mendapat sambutan hangat dengan kesemua sembilan slot yang disediakan direbut dalam masa enam minit setelah pendaftaran dibuka semalam.

"Semua pakej staycation kami telah direbut dalam masa enam minit. Bagi yang tidak berpeluang mendapatkan tempat, jangan kecewa.

"Kami akan memberikan satu slot secara percuma kepada sebuah kumpulan bernasib baik," kata pihak penganjur semalam.

Pakej penginapan Kampong G(e)lamping @ TWM itu dianjurkan Lembaga Warisan Negara (NHB) dengan kerjasama Taman Warisan Melayu (TWM) sempena cuti sekolah hujung tahun ini.

Glamping adalah singkatan bagi glamorous camping, atau perkhemahan glamor.

Oleh sebab pakej ini diadakan di TWM, yang terletak di Kampong Gelam, nama program itu menggabungkan 'gelam' dan 'glamping'.

Menerusi program itu, TWM mengajak penduduk Singapura menikmati glamping dengan sentuhan budaya Melayu dan jadual menyeronokkan selama dua hari satu malam di salah sebuah lokasi monumen negara.

Pengurus Besar TWM, Cik Asmah Alias, berkata: "Kami tahu ramai orang masih mencari-cari kesempatan bercuti dalam negeri.

"Oleh itu, kami ingin menawarkan satu pakej unik dan berbaloi, jadi orang ramai dapat menikmati suasana glamping di Taman Warisan buat kali pertamanya di sebuah kawasan monumen negara di tengah-tengah Kampong Gelam.

"Selain mempelajari mengenai sejarah Kampong Gelam, kami harap acara ini dapat membantu dan memanfaatkan perniagaan tempatan di kawasan ini."

Acara itu buat julung-julung kalinya bakal dilancarkan dari 15 hingga 24 Disember selama sembilan hari.

TWM menawarkan satu slot setiap hari, yang dapat menampung hingga lima orang.

Pakej itu berharga $450 untuk kumpulan lima orang, dengan peserta harus berumur dua tahun ke atas.

Antara kegiatan yang telah disediakan ialah lawatan warisan di pameran TWM, berjalan kaki di kawasan Kampong Gelam serta kunjungan ke beberapa kedai popular di daerah itu dengan bimbingan pemandu pelancong.

Untuk makan malam, peserta akan diajar cara menyiapkan nasi kerabu dengan sambal tempe dan akan dibimbing untuk memasaknya sendiri.

Selepas sehari suntuk melakukan beraneka kegiatan, peserta boleh berehat di dalam salah satu daripada dua khemah.

Satu khemah adalah tempat penginapan yang disediakan dengan dua katil saiz Queen serta tempat tidur buaian kanvas yang diletak di luar khemah untuk bersantai di bawah bintang.

Satu lagi ialah khemah hiburan yang dilengkapi projektor, pembesar suara dan beg kekacang untuk santai sambil menonton Netflix.

Kedua-dua khemah disiapkan dengan hawa dingin serta kipas mudah alih, dan lampu hiasan untuk memeriahkan suasana.

Pada hari kedua, peserta akan memulakan pagi mereka dengan senaman yoga lalu dibawa keluar sarapan di gerai makan berhampiran, sebelum berdaftar keluar pada 10 pagi.

Demi mengelakkan penularan Covid-19, TMW akan memastikan bahawa setiap peralatan dan khemah dinyahjangkit dengan teliti sebelum mengalu-alukan kedatangan peserta slot seterusnya.


Kami tahu ramai orang masih mencari-cari kesempatan bercuti dalam negeri. Oleh itu, kami ingin menawarkan satu pakej unik dan berbaloi, jadi orang ramai dapat menikmati suasana glamping di Taman Warisan buat kali pertamanya di sebuah kawasan monumen negara di tengah-tengah Kampong Gelam. Selain mempelajari mengenai sejarah Kampong Gelam, kami harap acara ini dapat membantu dan memanfaatkan perniagaan tempatan di kawasan ini.
- Cik Asmah Alias, Pengurus besar TWM.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian