TIGA lelaki, dua daripadanya warga Singapura dan seorang warga Malaysia, berusia antara 37 dengan 60 tahun, ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah.
Dalam satu kenyataan Biro Narkotik Pusat (CNB) tadi (Selasa, 21 Julai), sebanyak 273 gram dadah ‘Ice’, 318 gram ketamin, 144 pil ‘Ecstasy’ dan dua pil Erimin-5 dirampas.
Wang tunai sejumlah $6,000 juga ditemui sewaktu operasi dikendalikan di beberapa lokasi di Singapura. Dadah yang dirampas bernilai lebih $66,000.
Menurut CNB lagi, pegawainya dikerahkan ke Upper Serangoon Road pada awal dinihari 21 Julai bagi menjalankan pemantauan pertemuan antara warga Singapura berusia 50 tahun dengan warga Malaysia berusia 37 tahun.
Lelaki Malaysia itu disyaki menyerahkan dadah kepada lelaki Singapura itu sebelum beredar dengan menunggang motosikal.
Pegawai CNB kemudian mengekori lelaki Malaysia itu ke satu kawasan sekitar Geylang Road lantas menangkapnya. Sepaket dadah ‘Ice’ (sekitar 1 gram) ditemui dalam tangan lelaki berkenaan.
Dalam pada itu, CNB menambah, sekumpulan pegawainya yang berasingan menyerbu satu tempat persembunyian di kawasan perumahan sekitar Upper Serangoon Road dan menangkap lelaki 50 tahun itu bersama seorang lagi lelaki Singapura berusia 60 tahun.
Dadah ‘Ice’ sebanyak 36 gram, satu gram ketamin, 22 pil ‘Ecstasy’ dan wang tunai $6,000 dirampas daripada lelaki berusia 50 tahun itu.
Pegawai CNB juga menemui sebiji kelapa yang digunakan bagi menyembunyikan 317 gram ketamin. Turut ditemui di unit flat tersebut adalah 236 gram dadah ‘Ice’, 122 pil ‘Ecstasy’, dua pil Erimin-5 dan alatan dadah lain.
Siasatan sedang dijalankan. CNB menambah, dadah ‘Ice’ sebanyak 273 gram yang dirampas daripada operasi ini cukup bagi mengisi ketagihan 156 penyalahguna dadah dalam tempoh seminggu.