Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dana $49j bagi kaji tenaga rendah karbon

Chun Sing umum inisiatif di acara Minggu Tenaga Antarabangsa S'pura - acara perdagangan pertama diadakan di sini sejak Covid-19 melanda
Oct 27, 2020 | 05:30 AM



PEMERINTAH semalam mengumumkan dana $49 juta untuk membiaya penyelidikan dalam bidang tenaga rendah karbon, sebahagian usaha Singapura membina masyarakat lebih mesra alam dan menjadi lebih berpengaruh dalam sektor tenaga lebih mesra alam antarabangsa.



Dana bernama Inisiatif Pendanaan Penyelidikan Tenaga Rendah Karbon itu, antara lain juga akan digunakan untuk menguji cara-cara menggunakan sumber tenaga rendah karbon seperti hidrogen dan cara-cara menyimpan tenaga karbon, bagi tempoh lima tahun akan datang.



Mengumumkan usaha itu, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, berkata:



"Hidrogen mempunyai potensi besar sebagai satu lagi bentuk tenaga bersih, jika tidak, bentuk tenaga yang lebih bersih.



"Kami akan meneliti bagaimana kami boleh menggabungkan penggunaan hidrogen dengan campuran LNG (gas asli cecair) untuk mewujudkan campuran tenaga lebih bersih bagi Singapura," kata beliau.



Encik Chan berkata demikian dalam ucapannya di acara pembukaan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura 2020 (SIEW) - acara perdagangan pertama yang diadakan di sini sejak kegiatan sedemikian dihentikan akibat pandemik Covid-19.



Menurut Encik Chan, Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Australia, antara lain untuk meneroka kerjasama dalam pengeluaran tenaga rendah karbon, termasuk hidrogen, teknologi yang mengurangkan pengeluaran karbon dan perdagangan tenaga boleh diperbaharui.



Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star), Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Kumpulan Strategi Sekretariat Perubahan Iklim Nasional (NCCS) dan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF) dalam satu kenyataan bersama berkata usaha dana itu bertujuan mempercepatkan daya maju teknikal dan ekonomi teknologi baru sedemikian.



Ini untuk mengurangkan pengeluaran karbon di Singapura, terutamanya bagi sektor yang mengeluarkan karbon secara lebih intensif seperti sektor kuasa dan perindustrian.



Projek penyelidikan itu dijangka merangkumi teknologi yang membolehkan gas karbon dioksida diresap secara berkesan dan selanjutnya, mengubah gas itu menjadi bahan berguna seperti bahan binaan, pasir bagi tujuan tambakan dan bahan api buatan.



Selain itu, negara ini juga akan mempertingkat usahanya memanfaatkan tenaga suria, dengan matlamat menjana 1.5 puncak gigawatt (GWp) tenaga suria menjelang 2025, kata Encik Chan.



Kuasa itu boleh digunakan untuk memenuhi keperluan elektrik tahunan sekitar 260,000 isi rumah di Singapura, atau sekitar 2 peratus permintaan elektrik seluruh negara pada 2025.



Sasaran itu adalah satu usaha mempercepatkan pelan penggunaan tenaga suria yang diumumkan Encik Chan di sidang tahun lalu, iaitu untuk menjana sekurang-kurangnya 2 GWp menjelang 2030, yang boleh memenuhi keperluan sekitar 350,000 isi rumah.



Sebagai sebuah negara kekurangan tenaga alternatif, Encik Chan berkata Singapura perlu mencari cara kreatif menangani cabaran tenaga.



"Perubahan besar perlu dimulakan dengan langkah kecil. Untuk mencapai gaya hidup bermutu tinggi yang kita idamkan, kita harus meneliti semula cara kita menggunakan sumber," kata Encik Chan, yang berkata Singapura juga perlu meneliti huraian lebih mesra alam dalam industri dan pengangkutan.



Laporan  lain:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >