Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dana bantu golongan kurang berkemampuan belajar di tajaka Busy Bees

Nov 10, 2018 | 05:30 AM



KECERIAAN dua anak Cik Lina (bukan nama sebenar) bermain dan belajar di sebuah tajaka Learning Vision masih segar dalam ingatan beliau.



Luluh hatinya apabila beliau terpaksa mengeluarkan mereka dari tajaka itu akibat kesempitan wang setelah perniagaan suaminya runtuh sehingga menyebabkan mereka bergelumang dalam hutang.



Baru-baru ini, Cik Lina melonjak kegembiraan apabila menerima panggilan dari rangkaian kumpulan tajaka, Busy Bees Singapore, yang memiliki Learning Vision, yang menyatakan anaknya akan diberi subsidi kewangan agar dapat bersekolah di Learning Vision.



Ini setelah syarikat itu memperkenalkan program Akses Pengetahuan yang memperuntukkan Dana Tuisyen Prasekolah bagi membiayai sebahagian besar yuran sekolah anak itu agar mereka dapat terus mendapat pendidikan prasekolah bermutu di bawah rangkaian tajaka Busy Bees Singapore.



Program itu memberi peluang pendidikan dan subsidi kewangan agar kanak-kanak dapat bersekolah di rangkaian 62 tajaka milik Busy Bees yang meliputi enam jenama termasuk Small Wonder, Learning Vision dan Pat's Schoolhouse yang berhampiran dengan rumah mereka.



Cik Lina, 37 tahun, ibu empat anak berusia empat dan lapan tahun, kini menghantar dua anaknya berusia lima dan empat tahun belajar di peringkat tajaka satu dan nurseri dua di tajaka Learning Vision di Biopolis selepas mendapat bantuan kewangan dari Akses Pengetahuan.



Anak sulung dan kedua, yang sebelum ini dikeluarkan dari tajaka itu, sudah pun bersekolah di sekolah rendah masing-masing di darjah dua dan satu.



"Untuk menghantar anak-anak saya bersekolah di Learning Vision memang saya tidak mampu. Suami masih perlu lunaskan hutang dan kini bekerja sebagai pencuci pinggan. Saya pula kerja sambilan sebagai penyelia di sebuah restoran dan membawa pulang gaji sebanyak $800.



"Tetapi, saya tahu tajaka yang bermutu membawa perbezaan kepada dua anak sulung saya. Mereka seronok belajar di Learning Vision dan apabila berada di sekolah rendah, tahap pelajaran mereka setanding dengan anak lain. Jadi, apabila diberikan tawaran agar saya dapat menyekolahkan dua anak bongsu saya di Learning Vision, saya menerimanya dengan hati yang terbuka dan amat berterima kasih kerana diberi peluang ini," kata Cik Lina.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Busy Bees Singapore, Cik Jummaida Rusdon, memperkenalkan program Akses Pengetahuan bagi membolehkan kanak-kanak daripada golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan prasekolah bermutu di samping berintegrasi dengan kanak-kanak lain.



Di bawah Dana Tuisyen Prasekolah, Busy Bees memberi subsidi sehingga 42 peratus secara purata bagi menampung yuran sekolah kanak-kanak itu tetapi jumlah itu boleh ditingkatkan jika terdapat keperluan. Ibu bapa boleh membayar maksimum yuran sebanyak 10-11 peratus.



Program itu dibuka bagi keluarga yang mempunyai pendapatan keluarga sehingga $4,000 atau per kapita sebanyak $1,000.



Sebagai ibu yang mempunyai dua anak berkeperluan khas, Cik Shamin (bukan nama sebenar) begitu gembira apabila Busy Bees Singapore membuka Prasekolah Inklusif Bright Path berdekatan Bukit Timah, sebuah tajaka sepenuh masa untuk kanak-kanak dengan pelbagai tahap keupayaan pembelajaran termasuk kanak-kanak berkeperluan khas.



Tetapi, setelah melihat sendiri sekolah itu dan mengetahui yuran sekolah itu yang mencecah $2,850 sebulan, Cik Shamin melupakan hasratnya itu.



Beliau sedar beliau tidak mampu membayar yuran sebanyak itu bagi menghantar anak perempuannya berusia lima tahun yang menghadapi kelewatan bercakap dan anak lelakinya, tiga tahun, yang mempunyai autistik, ke 'tajaka idamannya' itu.



Cik Shamin, 30 tahun, bekerja sebagai seorang penolong klinik gigi, dan suaminya, 35 tahun, pula bekerja sebagai pemandu Grab.



Bulan lalu, beliau menerima panggilan dari Busy Bees Singapore yang menawarkan dua anak beliau itu mengikuti tajaka di Bright Path dan sebahagian besar yuran sekolah dua anaknya itu akan ditampung Akses Pengetahuan.



"Saya rasa amat bersyukur apabila diberitahu mengenai bantuan itu. Ia merupakan sekolah idaman bagi anak saya. Sebagai ibu, tentu sekali saya ingin memberikan yang terbaik untuk mereka," kata Cik Shamin, sambil menitiskan air mata.



Sebelum ini, dua anak beliau dihantar ke tajaka lain dan kemudian menjalani Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-Kanak (Eipic) di lokasi lain bagi menjalani terapi.



Sejak bersekolah di Bright Path, mereka menjalani tajaka dan terapi di sekolah. Tajaka itu menawarkan program campur tangan awal untuk kanak-kanak berkeperluan khas dalam sukatan pelajarannya.



Guru-gurunya pula diberi latihan keperluan khas untuk menangani kanak-kanak ini.



"Anak-anak saya menunjukkan banyak perbezaan selepas bersekolah di Bright Path sejak pertengahan bulan lalu. Anak lelaki saya yang autistik, biasanya tidak memberikan respons. Tetapi, selepas bersekolah di Bright Path, dia boleh bersenandung mendendangkan lagu 'twinkle-twinkle' dan menunjukkan isyarat 'bye bye' tanpa disuruh. Anak perempuan saya pula lebih banyak bercakap," kata Cik Shamin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >