Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dana Elderfund bantu golongan kurang upaya teruk

Wang juga boleh dikeluarkan dari Medisave untuk bantu kos penjagaan jangka panjang
Jul 04, 2018 | 05:30 AM



SATU dana baru demi membantu warga Singapura berpendapatan rendah yang mengalami kurang upaya yang teruk akan diperkenal Kementerian Kesihatan (MOH) pada 2020.



Dipanggil ElderFund, individu berusia 30 tahun dan ke atas yang layak, boleh menerima wang tunai sehingga $250 sebulan bagi keperluan jagaan jangka panjang mereka, ujar MOH dalam kenyataannya.



Misalnya, wang itu boleh digunakan untuk membantu menampung kos khidmat jagaan di rumah atau khidmat jagaan siang hari serta bagi keperluan seperti lampin orang dewasa.



Pesakit sedemikian akan menerima bayaran selagi mereka kekal kurang upaya teruk.



Ini bermakna mereka memerlukan bantuan bagi sekurang-kurangnya tiga daripada enam kegiatan harian asas - makan sendiri; memakai baju sendiri; menggunakan tandas; mandi; bergerak dari satu bilik ke bilik lain; dan bangun daripada katil untuk duduk di kerusi atau sebaliknya.



Menurut Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong, skim bantuan kewangan atas budi bicara itu adalah satu bentuk "rangkaian keselamatan sosial bagi memastikan mereka akan dapat memenuhi keperluan jagaan jangka panjang".



Skim itu akan memberi manfaat kepada mereka yang tidak dapat menyertai CareShield Hayat atau mempunyai baki yang rendah dalam akaun Medisave serta simpanan wang peribadi yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan jagaan jangka panjang mereka.



Butiran lanjut mengenai permohonan skim itu akan dikongsi pada tempoh lebih dekat dengan 2020, dedah MOH. ElderFund merupakan antara langkah yang diumumkan demi memperkukuh pembiayaan jagaan jangka panjang bagi warga sedang penduduk Singapura semakin menua.



Buat kali pertama sejak akaun Medisave dibentuk pada 1984, pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang mengalami kurang upaya yang teruk akan dapat mengeluarkan wang tunai daripada akaun Medisave mereka mulai 2020.



Ini demi menyokong keperluan jagaan jangka panjang mereka.



Mereka boleh mengeluarkan sehingga $2,400 setahun daripada akaun Medisave peribadi atau pasangan mereka setelah mengetepikan jumlah minimum untuk memastikan terdapat wang mencukupi bagi perbelanjaan perubatan lain.



Pada 2020 juga, skim insurans jagaan jangka panjang nasional CareShield Hayat akan dilancarkan.



CareShield Hayat dengan secara automatik akan melibatkan semua individu berusia antara 30 dengan 40 tahun pada 2020, dengan kohort warga Singapura yang lebih muda akan menyertai skim itu apabila mencapai usia 30 tahun.



Premium, yang dibayar menerusi MediSave, bermula pada kadar $206 setahun bagi lelaki dan $253 setahun bagi wanita pada usia 30 tahun. Skim itu akan memberi bayaran sekurang-kurangnya $600 sebulan kepada mereka yang mengalami kurang upaya yang teruk sepanjang hayat.



CareShield Hayat tidak wajib bagi mereka yang berusia 41 tahun dan ke atas apabila ia dilancarkan pada 2020.



Namun, demi menggalak mereka menyertai CareShield Hayat, pemerintah akan menyediakan insentif penyertaan antara $500 dengan $2,500 jika mereka menyertai skim itu dalam dua tahun pertama mulai 2021.



Insentif itu akan dibahagikan sama rata selama 10 tahun dan digunakan untuk menampung premium tahunan yang perlu dibayar bagi tahun tersebut.



Pemerintah juga akan menyediakan subsidi peralihan sehingga $250 bagi warga Singapura berusia 40 tahun dan ke bawah dalam lima tahun pertama - dari 2020 hingga 2024 - skim itu dilaksanakan.



Terdapat juga subsidi premium sebanyak 20 hingga 30 peratus yang disediakan bagi golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan dan sokongan tambahan bagi mereka yang tidak mampu membayar premium meskipun setelah menerima subsidi.



Encik Gan berkata: "CareShield Hayat, Medisave dan ElderFund akan bekerjasama untuk membantu mempertingkat kemampuan jagaan jangka panjang dan memastikan kita boleh memupuk sebuah masyarakat yang inklusif dan penyayang, di mana kita semua boleh berkumpul bersama untuk menjaga satu sama lain, terutamanya dalam keperluan jagaan jangka panjang kita."




SEKILAS LANGKAH YANG DISEDIAKAN



1. CARESHIELD HAYAT



- Premium boleh dibayar menerusi Medisave



- Subsidi premium sehingga 30 peratus akan disediakan bagi pemegang polisi penduduk Singapura berpendapatan rendah hingga pertengahan



- Warga Singapura yang tidak dapat membayar premium meskipun setelah menerima subsidi boleh mohon Sokongan Premium Tambahan



- Subsidi peralihan sehingga $250 disediakan bagi semua kohort masa depan warga Singapura bagi lima tahun pertama skim dilaksanakan



- Insentif penyertaan sehingga $2,500 disediakan bagi warga Singapura yang lahir pada 1979 atau lebih awal yang menyertai skim dalam dua tahun pertama mulai 2021



2. GUNA MEDISAVE



- Mulai 2020, penduduk Singapura berusia 30 tahun dan ke atas yang kurang upaya teruk boleh mengeluarkan wang tunai sehingga $2,400 setahun daripada Medisave



3. SKIM ELDERFUND



- Akan diperkenalkan pada 2020 untuk bantu golongan warga Singapura berpendapatan rendah berusia 30 tahun dan ke atas yang kurang upaya teruk dan perlu sokongan kewangan tambahan



- Mereka yang layak boleh terima wang tunai sehingga $250 sebulan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >