Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Danish, 6 tahun, teruja jalani hidup meski hadapi ujian

Jun 04, 2023 | 05:31 AM



USIANYA baru menjangkaui enam tahun, namun dugaan yang perlu diharungi Imraan Danish Nur Hisyam sukar dibayangkan. 

Sedang ramai di kalangan rakan sebayanya menghabiskan banyak waktu di sekolah dan bermain, Imraan Danish terpaksa meluangkan banyak masa berulang-alik ke hospital.

Baru-baru ini, kanak-kanak ceria itu telah menjalani pembedahan untuk memotong bahagian kaki kanan di bawah lutut. 

Ketika berusia dua tahun, Danish disahkan menghidap jangkitan kuman berbahaya yang memamah daging.

Doktor juga telah menasihatkan ibunya, Cik Juliana Jorimi, bahawa mereka terpaksa memotong kaki Danish bagi memastikan kuman itu tidak merebak lagi. 

“Ia merupakan satu keputusan yang sukar dibuat. Danish masih kecil dan mempunyai masa depan yang panjang di hadapannya. 

“Saya tidak ingin dia menderita untuk jangka masa yang lama disebabkan jangkitan ini. Saya hanya ingin dia hidup seperti kanak-kanak biasa sebaya dengannya,” kata ibu tiga anak itu. 

Penderitaan Danish bermula apabila Cik Juliana menyedari bahawa terdapat kesan ‘gigitan’ pada kaki anaknya itu, yang pada mulanya hanya dianggap sebagai gigitan nyamuk. 

Menyedari ‘gigitan’ itu tidak hilang selepas beberapa hari dan mula menjadi hitam, Cik Juliana, 33 tahun, mengambil keputusan membawa anak keduanya itu ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

“Saya telah membawa Danish berjumpa doktor selepas dua hari saya mengesan tanda gigitan itu, dan doktor hanya memberi kami ubat serta krim untuk disapukan pada gigitan itu. 

“Namun, selepas mendapati Danish kerap jatuh sakit dan kesan gigitan itu mula bertukar warna, saya pasti ini merupakan satu perkara yang serius dan segara membawanya ke Hospital Wanita & Kanak-Kanak KK (KKH),” tambahnya.

Selepas pemeriksaan lanjut, laporan kesihatan Danish merupakan sesuatu yang tidak disangka bagi Cik Juliana.

Apa yang lebih mengejutkan adalah Cik Juliana hampir kehilangan anaknya itu, jika beliau lambat membawanya ke hospital, menurut doktor. 

Doktor mengesahkan Danish menghidap jangkitan penyakit Streptokokus Kumpulan A, yang merupakan sejenis bakteria yang menyebabkan jangkitan pada tekak, kulit dan organ di dalam tubuh dan boleh membawa maut jika pesakit tidak mendapatkan rawatan. 

Dari situ, Cik Juliana sedar bahawa anakya itu tidak lagi mampu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa. 

Namun hati ibu mana yang ingin melihat anaknya menderita seumur hidup. 

Justeru, Cik Juliana, seorang ibu tunggal dan kini membesarkan Danish dan seorang lagi anaknya berusia tiga tahun, bertekad untuk memastikan keadaan itu tidak menghambat Danish daripada membesar seperti kanak-kanak lain.

“Pada mulanya, ia bukan sesuatu yang mudah kerana Danish mempunyai banyak soalan tentang keadaannya dan mengapa dia terpaksa melalui semua ini, manakala kanak-kanak lain boleh berseronok.

“Saya sering ingatkan bahawa dia seorang anak istimewa dan dia tidak sepatutnya membiarkan kekurangannya menghalangnya serta mematahkan semangatnya.

“Apabila kami ke taman permainan misalnya, Danish kerap mendapat pertanyaan daripada kanak-kanak lain. 

“Alhamdulillah, Danish dapat menerima kenyataan ini dan terbiasa dengan kehidupan barunya. Dia tahu bagaimana menjawab soalan-soalan itu semua dan menerangkan tentang keadaannya. 

“Yang penting, dia tidak membiarkan kekurangan ini menghalangnya daripada menjalani hidup seperti kanak-kanak lain,” kata Cik Juliana lagi. 

Tahun depan, Danish bakal melangkah masuk ke sekolah rendah dan Cik Juliana berharap dapat mendaftar anaknya itu ke salah sebuah sekolah berdekatan rumah mereka.

“Memang itu yang saya harapkan. Saya juga tahu Danish tidak sabar untuk memasuki sekolah baru dan membuat lebih ramai kawan. 

“Saya harap ini akan meningkatkan lagi semangatnya,” kata Cik Juliana lagi. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >