Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sana-sini meriah anjur Rumah Terbuka Raya

Peluang bertemu semula anak, cucu cicit dan saudara mara sambil menjamu selera
May 09, 2022 | 05:30 AM



PELUANG untuk berkumpul bersama keluarga tercinta merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan beliau.



Justeru, setelah hampir dua tahun terpisah disebabkan pandemik Covid-19, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sungguh bermakna bagi Cik Nur Asyiqin Jumato.



Dengan kelonggaran lanjut terhadap langkah pengurusan keselamatan (SMM) Covd-19 di sini, Cik Asyiqin, 38 tahun, yang bermastautin di Batam, Indonesia, bersama suami dan dua orang anak kecil mereka berusia lapan tahun dan setahun tiga bulan, gembira kerana akhirnya dapat bertemu dan mengeratkan semula tali silaturahim bersama keluarga dan sanak-saudara di Singapura.



"Memang seronok sangat dapat beraya dengan keluarga besar di sini selepas dua tahun saya tidak pulang ke Singapura untuk menyambut Hari Raya.



"Lagipun, ini merupakan kali pertama anak kedua saya dapat merasakan suasana Hari Raya di Singapura dan menyambutnya dengan kedua nenek dan datuknya, jadi peluang ini sungguh bermakna," kata beliau.



Meskipun akan pulang ke Batam lusa, Cik Asyiqin dan ibu bapanya sempat mengadakan rumah terbuka dan telah mengundang keluarga serta saudara-mara mereka kelmarin.



Mereka merupakan antara keluarga yang telah mengadakan rumah terbuka pada hujung minggu pertama Syawal ini menyusuli pengumuman pemerintah yang tidak lagi menetapkan jumlah pengunjung ke rumah bagi mengekang penularan wabak ini.



"Kami membuat rancangan ini 'last minute', pada Jumaat lalu, oleh itu kami hanya mengundang adik-beradik ibu bapa saya dan keluarga mereka. Itupun seramai lebih 100 tetamu yang hadir pada hari itu," tambah Cik Asyiqin.



Bagi ibu beliau, Cik Fawziyah Hj Shukur, 58 tahun, kata-kata tidak dapat diungkapkan untuk meluahkan rasa kesyukuran beliau kerana akhirnya dapat disatukan semula bersama keluarga tercinta, terutama anak dan cucu-cucunya.



"Saya hanya dapat melimpahkan rasa kesyukuran saya kepada Tuhan kerana memberikan peluang ini sekali lagi untuk kami merasakan kenikmatan bersama ahli keluarga dan saudara-mara.



"Dua tahun kami tidak berjumpa, dan apabila kami bertemu di rumah saya, saya tidak dapat menahan air mata saya daripada mengalir," kata Cik Fawziyah.



Kegembiraan dapat berkumpul sekali lagi turut dirasakan Encik Zainal Abidin Zainuddin.



Guru sekolah menengah itu sebelum ini sering mengadakan rumah terbuka untuk saudara-mara dan rakan-rakannya.



"Kadangkala, kami akan mengadakan rumah terbuka kedua untuk menjemput rakan-rakan yang tidak dapat datang pada hari pertama," kata beliau yang berusia 60 tahun.



Suasana meriah itu dapat dirasakan sekali lagi kelmarin apabila beliau dan keluarga menganjurkan pertemuan Hari Raya di rumahnya di Woodlands.



"Tahun ini memang gembira dan bersyukur kita dapat berkumpul. Saya rasa bukan saya sahaja terapi ramai umat islam di sini juga. Ini adalah tahun pertama kita dapat lampu hijau untuk meraikan perayaan ini tanpa sekatan jadi semua memang bahagia sangat.



"Keluarga yang kami ada di seberang sempadan juga dapat datang kunjung. Jadi bagi saya, ini adalah perayaan yang terbaik," kata beliau lagi.



Sementara itu, bagi Encik Muhammad Hasif Azmi sekeluarga, kesempatan untuk berkumpul membawa erti yang lebih mendalam.



Beliau yang telah berkumpul di rumah pakciknya kelmarin berkata:



"Sejak Covid-19 berlaku, semua orang terjejas dan ia lebih menyedihkan kerana kita tidak dapat mengunjungi dan berjumpa datuk dan nenek serta saudara-mara yang lain.



"Namun, Alhamdulillah, dengan pelonggaran sekatan ini, kita dapat berkumpul beramai-ramai.



"Bagi saya dan keluarga yang menjaga datuk saya yang berusia 94 tahun, matlamat utama kami untuk sambutan Hari Raya tahun ini ialah untuk memastikan beliau berasa gembira dapat berjumpa dengan anak-anak, cucu dan cicitnya," ujar Encik Hasif, 27 tahun.



LAPORAN TAMBAHAN NATASHA MUSTAFA




DARI BATAM BERTEMU KELUARGA BERAYA DI SG



"Memang seronok sangat dapat beraya dengan keluarga besar di sini selepas dua tahun saya tidak pulang ke Singapura untuk menyambut Hari Raya.



Lagipun, ini merupakan kali pertama anak kedua saya dapat merasakan suasana Hari Raya di Singapura dan menyambutnya dengan kedua nenek dan datuknya, jadi peluang ini sungguh bermakna.''
- Cik Nur Asyiqin Jumato.



"Sejak Covid-19 berlaku, semua orang terjejas dan ia lebih menyedihkan kerana kita tidak dapat mengunjungi dan berjumpa datuk dan nenek serta saudara-mara yang lain.



PASTIKAN DATUK GEMBIRA DIZIARAH KELUARGA



Namun, Alhamdulillah, dengan pelonggaran sekatan ini, kita dapat berkumpul beramai-ramai.



Bagi saya dan keluarga yang menjaga datuk saya yang berusia 94 tahun, matlamat utama kami untuk sambutan Hari Raya tahun ini ialah untuk memastikan beliau berasa gembira dapat berjumpa dengan anak-anak, cucu dan cicitnya."
- Encik Muhammad Hasif Azmi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >