Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Dari hanya $3 dalam akaun syarikat, kini jaya jadi usahawan terbaik

Setempat
27
0

Dari hanya $3 dalam akaun syarikat, kini jaya jadi usahawan terbaik

Pemilik firma logistik Riverwood antara 11 pemenang Anugerah Usahawan Terbaik
Oct 15, 2018 | 05:30 AM

KETIKA firma logistik Riverwood Pte Ltd masih baru bertapak, simpanan akaun bank firma milik Encik Syafiq Yussoff pernah tinggal $3 sahaja.

Sebaik sahaja pelanggan membuat bayaran, beliau utamakan bayaran kakitangan dan operasi perniagaan.

Selama berbulan-bulan beliau tidak bergaji.

Tempoh-tempoh awal yang dilalui dalam membentuk firma logistik itu penuh dugaan tetapi kecekalannya membangunkan perniagaan itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya mendapat pelanggan besar seperti DHL dan SingPost.

Kesungguhan Encik Syafiq dalam membangunkan perniagaannya diiktiraf apabila beliau dinobatkan antara 11 pemenang Anugerah Usahawan Terbaik (EYA) (Kategori Usahawan Mapan) 2018 anjuran Persatuan Syarikat Kecil Dan Sederhana (Asme) dan Rotary Club of Singapore baru-baru ini.

Anugerah yang diberi untuk tahun ke-30 itu mengiktiraf pencapaian usahawan setempat yang memiliki ciri-ciri seperti komitmen, kesungguhan, kreativiti dan visi untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Mengimbas kembali detik itu, mantan jurulatih jasmani peribadi itu berkata beliau terdorong membentuk perniagaan logistik sendiri kerana 'terhidu' peluang dalam bidang logistik walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu.

Ketika itu, SingPost memerlukan firma penghantaran ketiga untuk menghantar bungkusan pelanggan mereka.

"Saya mengaup peluang itu. Pejabat saya ketika itu ialah bilik flat HDB milik bapa saya di Tampines. Saya sendiri yang membuat penghantaran itu,'' kata Encik Syafiq.

Beliau masih teringat detik-detik apabila anaknya, Ayser, baru dilahirkan tetapi flat beliau gelap gelita kerana beliau tidak mempunyai cukup wang untuk membayar bil.

"Apabila saya pulang ke rumah dan mendukung anak kecil saya yang baru lahir, keadaan cukup tertekan apabila saya dapati bil elektrik rumah tidak terbayar dan kami sekeluarga hidup dalam kegelapan,'' kata bapa dua anak lelaki itu yang mendapat sokongan kuat daripada isteri dan keluarganya.

Pertemuan dengan Encik Ronan Hurley, yang membentuk firma dagangan elektronik, Luxola, yang memberikan beliau kata-kata perangsang membakar semangatnya.

Duit yang diperolehi daripada pelanggan digunakan untuk membayar kakitangannya dan kos operasi.

Sikit demi sedikit, perniagaan yang dibina itu berjaya menarik lebih banyak syarikat termasuk DHL.

Perniagaan itu semakin berkembang. Ia kini mempunyai lebih 120 kakitangan dan 70 kenderaan seperti trak, van dan motosikal.

Syarikat itu juga sedang dalam perancangan menyediakan khidmat logistik halal yang menumpukan perhatian bukan sahaja di Singapura, malah di dunia, kata Encik Syafiq.

Encik Alan Tan, pengerusi bersama jawatankuasa penganjur EYA 2018 yang mewakili Rotary Club of Singapore, berkata:

"Para pemenang bukan hanya mempunyai idea kerana idea sahaja tidak mencukupi. Mereka bekerja keras untuk menjadikan idea mereka satu realiti, mewujudkan pekerjaan dan menjana kekayaan. Mereka mempunyai semangat utuh yang tinggi dan keupayaan untuk bangun balik daripada kegagalan.''

Menurut kenyataan Asme, kriteria yang ditetapkan bagi anugerah itu termasuk usahawan itu perlu beroperasi selama tujuh tahun dan lebih, memiliki sekurang-kurangnya 30 peratus daripada perkongsian syarikat, firma tidak disenaraikan di bursa saham dan perlu memberi sekurang-kurangnya penyata kewangan selama tiga tahun.

Majlis penyampaian sijil bagi pemenang diberikan Rabu lalu tetapi majlis rasmi mengiktiraf pemenang akan diadakan November ini.

Pemenang lain termasuk Encik Saumik Bera dari Real Yoga Pte Ltd; ketua pegawai eksekutif (CEO) Topzone E&C Encik Tan Poo Seng; dan CEO PBA International, Encik Derrick Yap Khiam Wee.

"Para pemenang bukan hanya mempunyai idea kerana idea sahaja tidak mencukupi. Mereka bekerja keras untuk menjadikan idea mereka satu realiti, mewujudkan pekerjaan dan menjana kekayaan. Mereka mempunyai semangat utuh yang tinggi dan keupayaan untuk bangun balik daripada kegagalan.''
- Encik Alan Tan, pengerusi bersama jawatankuasa penganjur Anugerah Usahawan Terbaik 2018, mengenai para pemenang anugerah tersebut.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3