Hidup bagai 'kais pagi makan pagi' semasa membesar tapi jadikan bola sepak inspirasi untuk keluar dari lingkaran kesusahan Bekas pemain bola sepak nasional, Baihakki Khaizan, yang menyarung jersi negara sebanyak 142 kali, telah mengumumkan persaraannya baru-baru ini, dan kini bertugas di Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS). Selama 18 tahun, Baihakki telah ke Indonesia, Malaysia dan Thailand selain Singapura untuk bermain secara profesional. Ikuti temu ramah BERITA MINGGU bersama Baihakki yang mengongsi pengalaman pahit manis kerjayanya di padang bola.
DARIPADA menerima pendapatan lebih $2 juta kepada menjadi idola ribuan peminat fanatik, bekas pemain bola sepak nasional Baihakki Khaizan telah merasakan semuanya.
Selama 18 tahun, Baihakki 'mencuba nasib' di empat negara Asean dan 14 kelab untuk mengejar impiannya sebagai pemain bola sepak profesional sepenuh masa.
Beliau diberi gaji lumayan, diminati ramai dan membina serta menjalani kehidupan selesa hasil titik peluhnya di padang bola.
Namun permulaan kerjaya Baihakki sebagai pemain bola tidak semudah yang disangka ramai.
Seperti ramai pemain seangkatannya, beliau mula bermain di kolong blok, tetapi tidak seperti ramai yang lain, beliau hidup susah semasa membesar.
Sejak usia tiga tahun lagi, Baihakki kehilangan bapanya dan terpaksa hidup dalam sebuah flat kecil di Jurong East yang diinap 13 orang.
Beliau sering tidur di dapur dan kekurangan wang untuk membeli buku teks sekolah, selain tidak cukup duit tambang bas dan MRT untuk pergi berlatih.
Pendek kata, ujar Baihakki, hidupnya ketika itu seperti 'kais pagi makan pagi'.
Namun, sejak usia setahun jagung itu juga Baihakki membulatkan tekad untuk merubah kehidupannya dan menjadikan bola sepak sebagai sumber pendapatan dan menjadikannya inspirasi yang boleh membawanya keluar daripada lingkaran kesusahan.
"Saya gunakan bola sepak ini untuk memberitahu diri saya yang mungkin kita dapat hidup lebih selesa (dengan bermain bola sepak).
"Selepas itu saya tanam niat di hati dan mental bahawa saya akan bersungguh-sungguh (untuk menjadi pemain profesional) demi apa pun," katanya, yang ketika itu berazam untuk bermain di luar negara.
Beliau mengongsi pengalaman pahit manisnya itu sebagai pemain profesional dalam satu pertemuan di kondominium sewanya di Orchard baru-baru ini.
LANGKAH KANAN
Perjalanan Baihakki sebagai pemain professional bermula di Geylang United pada 2003 dalam usia 19 tahun dengan gaji $700 sebulan.
Walaupun nampak kecil, namun permulaan itu satu 'langkah kanan'.
Bukan sahaja Baihakki dinobatkan sebagai pemain muda dan pemain terbaik Liga-S, tetapi juga disertakan dalam skuad nasional untuk kali pertamanya dan dipilih antara 10 pemain muda terbaik Asia.
Semua ini berlaku hanya dalam masa sesingkat 12 bulan.
Beberapa tahun kemudian, satu gol yang dijaringkannya di Stadium Senayan di Jakarta semasa mewakili negara membuka pintu Baihakki menceburi kehidupan profesional di luar negara.
Selepas perlawanan itu, katanya, ramai ejen menemuinya di lobi hotel tempat beliau menginap. Akhirnya Baihakki ditawarkan kontrak profesional konkrit pertamanya di luar negara bersama Persija Jakarta pada 2009.
Baihakki menyifatkan perasaannya ketika itu sungguh menyeronokkan kerana dapat bermain di depan ribuan peminat di Stadium Senayan, yang merupakan padang kelab tersebut.
"Penuh setiap minggu, 60,000 orang, kadang-kadang 100,000 orang. Kalau berlatih, 2,000 hingga 3,000 orang (menyaksikan)," kata Baihakki semasa menceritakan tentang sambutan peminat kelab itu yang fanatik.
"Semasa itu saya dapat merasai bagaimana, orang kata, hidup sebagai superstar. (Tapi) baru-baru saya agak kekok, takut, tapi lama-kelamaan saya baru tahu ada sekumpulan orang yang sukakan kita," sambung beliau, yang kini berusia 38 tahun.
Namun, semasa mewakili kelab Persib Bandung pula, Baihakki menghadapi tekanan mental ekoran keadaan anaknya di Singapura hingga beliau mahu berhenti bermain.
Bagaimanapun, atas nasihat dan dorongan bos kelab itu agar tidak menyerah kalah, Baihakki meneruskan impiannya dan bertekad untuk lebih kuat menghadapi cabaran.
'DIPINANG ANAK RAJA'
Selepas Indonesia dan selepas beraksi bersama LionsXII, Baihakki 'dipinang' oleh anak raja, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, supaya beliau bermain di Johor bersama kelab Johor Darul Takzim (JDT).
Selepas saling menghantar mesej di Twitter, kededuanya - TMJ dan Baihakki - akhirnya bertemu dalam satu majlis makan malam di restoran Hard Rock Cafe.
Mulanya TMJ sekadar 'main-main' menawarkan Baihakki supaya bermain di JDT, dan Baihakki pula tidak mengambil ajakan itu sebagai serius.
Tetapi selepas berakhirnya musim Liga Super Malaysia bersama LionsXII pada 2013, TMJ menawarkan kontrak serius empat tahun kepada Baihakki.
Kali ini mereka bertemu di Hotel Fullerton.
Baihakki menyifatkan pakej kontrak tersebut sebagai kemuncak beliau sebagai pemain profesional (lihat laporan sampingan).
Ini meskipun ketika itu beliau menjangkakan kerjayanya sudah hampir menemui destinasi terakhir oleh sebab usianya yang lanjut.
"Ia adalah (tawaran) no-brainer. Tiada orang yang akan menolak tawaran (gaji) AS$25,000 (sekitar $34,000) sebulan untuk selama empat tahun... Mulanya saya tidak percaya, sampai hari gaji pertama yang saya dapat masuk dalam bank," kata bekas pemain pertahanan itu.
Oleh kerana ia satu kontrak paling besar dalam kerjayanya, Baihakki memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya di JDT hingga beliau antara lain mendapatkan instruktor untuk menjaga kecergasan dan kesihatannya.
Selepas tamat kontraknya di JDT, Baihakki kemudian bermain dengan tiga kelab di Thailand selama tiga tahun sebelum pulang ke Singapura bersama Tampines Rovers.
Baihakki menyifatkan permainan bola sepak di negara Gajah Putih itu sebagai satu 'seni'.
"Saya banyak belajar tentang seni bola sepak di Thailand. Walaupun umur saya sudah 33 tahun, agak lewat, tapi saya terima cabaran baru itu," katanya yang melahirkan kepuasan semasa mewakili kelab Trat.
Namun, tidak semua penerokaan Baihakki dalam perjalanan bola sepak profesionalnya menjadi, seperti yang berlaku di Arab Saudi.
Beliau pernah mencuba nasib di Jeddah Club, kelab liga dua negara itu, tetapi Baihakki enggan memeterai kontrak bersamanya kerana antara lain ia tidak membenarkan keluarganya ikut serta, selain hanya diberikan kediaman di asrama.
"Tawaran diberikan tidak begitu baik. Mungkin untuk pemain muda okey," kata Baihakki sambil menambah gaji yang ditawarkannya sekitar AS$2,000 sebulan.
TANAM BENIH
Menyedari akan singkatnya kerjaya sebagai pemain profesional, Baihakki tidak lupa untuk menabung, bahkan ia melakukan demikian sejak bermain di Indonesia lagi.
Beliau juga bimbang dengan pasang surut sebagai pemain.
Menurutnya, pendapatan yang tinggi diterima bersama sesebuah kelab tidak bermakna beliau akan menerima pendapatan yang lebih tinggi dengan kelab baru, malah sebaliknya mungkin boleh berlaku.
Justeru, penting beliau menguruskan kewangannya dengan baik dan melabur untuk masa depan.
Bermula di Jakarta, Baihakki menyalurkan sebahagian pendapatan bola sepaknya itu kepada isterinya, Norfasarie Mohd Yahya, seorang selebriti, supaya beliau dapat memulakan perniagaan.
"Waktu di Jakarta lagi saya sudah tanam benih... Mudah-mudahan bisnes ini boleh jadi satu benda yang akan memberi kita sesuap nasi di belakang hari.
"Sekarang saya sudah mula nampak. Selepas bersara mulalah kita tengok benih-benih kita sudah mula membesar," katanya, yang mempunyai empat anak berusia antara sembilan bulan dengan 13 tahun.
USAH PUTUS ASA
Saya kehilangan seorang bapa waktu umur saya tiga tahun. Saya tidak tahu apa erti (adanya) seorang bapa...(tapi) saya selalu cakap, usah putus asa dengan apa yang anda mahu lakukan. Benda tidak akan menjadi jika anda tidak mencubanya...Sepanjang saya bersekolah saya dapatkan buku teks daripada rumah anak yatim. Alat-alat lain, seperti kalkulator, semua cikgu belikan. Tiada sumber kewangan...tapi saya tetap meneruskan kehidupan... Apa yang anda lakukan, usah putus asa.
WANG BUKAN SEGALANYA
Apa pun jumlahnya, ia tidak begitu penting bagi saya. Wang boleh bantu dalam kehidupan tapi yang paling penting ialah minat saya terhadap bola sepak...Alhamdullilah saya dapat merasakannya, tapi ia bukan tujuan saya untuk menjadi pemain yang menerima $3 juta, tapi untuk menjadi pemain yang mengecapi apa yang ingin saya capai. Saya tidak mengira, kerana yang penting apa yang cukup untuk keluarga dan anak-anak. Kita harus menabung, simpan duit dan harus ingat hari-hari seperti sekarang (hari-hari persaraan).
KERJAYA PROFESIONAL BAIHAKKI
INDONESIA
- Persija Jakarta (2009-2010)
- Persib Bandung (2010-2011)
- Medan Chiefs (2011-2012)
MALAYSIA
- JDT (2014)
- JDT II (2015-2016)
THAILAND
- Muangthong (2018)
- Udon Thani (2018 - dipijamkan)
- Trat (2019)
- PT Prachuap (2020)
SINGAPURA
- Geylang United (2003 & 2008-2009)
- Young Lions (2004-2007)
- LionsXII (2012-2013 & 2014 - dipinjamkan)
- Warriors (2017)
- Tampines Rovers (2020-2021)