Subuh
5:52
Syuruk
7:09
Zuhur
1:13
Asar
4:14
Maghrib
7:16
Isyak
8:24

Dasar dwibahasa dikekal dengan baik lebih setengah abad: PM Lee

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Dasar dwibahasa dikekal dengan baik lebih setengah abad: PM Lee

Nov 25, 2021 | 05:30 AM

SINGAPURA telah berjaya mengekalkan dasar dwibahasa untuk lebih setengah abad dengan hasil yang baik, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

"Kami mempunyai guru bahasa ibunda berdedikasi dan kaedah mengajar yang kreatif; keluarga yang memberi sokongan dan melibatkan anak-anak mereka dalam bahasa ibunda; dan sekitaran sosial yang menggalakkan orang ramai untuk menggunakan bahasa ibunda mereka," kata Encik Lee.

Justeru, kanak-kanak di Singapura membesar dalam suasana dwibahasa dan meraih manfaat daripada kefasihan menggunakan kededua bahasa sepanjang hidup mereka, kata Encik Lee.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam satu rakaman video di acara ulang tahun ke-10 Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB) semalam.

"Mempelajari dua bahasa memerlukan kerja keras, tetapi ramai warga Singapura yang telah melalui sistem pendidikan kami gembira mereka telah melakukan usaha itu.

"Mereka yang merantau ke luar negara telah melihat manfaat daripada asas dwibahasa mereka," ujar Encik Lee.

LKYFB ditubuhkan oleh mendiang Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew.

Beliau percaya bahawa kedwibahasaan penting kepada kejayaan Singapura, dan setiap kanak-kanak perlu belajar dwibahasa awal, kata Encik Lee Hsien Loong.

Tambahnya, dana itu memainkan peranan penting untuk menjadi pemangkin kepada usaha memupuk cinta kepada bahasa ibunda.

Semasa berucap di acara itu, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, yang juga pengerusi dana tersebut, berkata dana itu telah memperuntuk $27 juta untuk menyokong hampir 200 projek sepanjang sedekad lalu.

Ini termasuk bengkel, persembahan, buku dan sumber berbilang media yang memberi manfaat kepada kanak-kanak prasekolah dan anak muda.

Dana itu juga telah berganding bahu dengan lebih 120 pihak berkepentingan.

Dana tersebut akan terus menyokong pembangunan sumber yang sesuai bagi peringkat usia yang ditujukan serta berdasarkan konteks di Singapura.

Memandang ke depan, Jawatankuasa LKYFB ingin menggunakan sumbernya untuk mencetus pergerakan, kata Encik Chan.

"Selain menyokong penciptaan dan penyusunan kandungan dengan cara tradisional, kami ingin meneroka dan menggalakkan lebih banyak kandungan yang dijana pengguna, serta boleh diakses melalui lebih banyak saluran untuk digunakan oleh ibu bapa, guru dan pelajar generasi baru," kata Encik Chan.

Dalam usaha ini, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan lebih ramai rakan kerja, penjana kandungan, dan saluran yang pelbagai untuk mendekati masyarakat lebih luas.

Mengenai dasar dwibahasa Singapura, Encik Chan berkata ia merupakan "laluan lebih sukar berbanding laluan yang diambil banyak masyarakat lain".

Tetapi Singapura percaya laluan dwibahasa itu adalah berbaloi.

"Hari ini, usaha untuk kita menambat identiti nasional kita pada dwibahasa adalah lebih penting berbanding sebelum ini.

"Dalam dunia yang mengancam untuk bercabang dan berpecah mengikut persaingan atau perbezaan ideologi, budaya atau sistem tadbir urus, adalah lebih penting daripada sebelumnya bagi kita untuk membezakan diri kita dengan membina jambatan untuk berhubung dengan pelbagai tempat di dunia, dengan orang lain yang berbeza perspektif," kata Encik Chan.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3