Dasar dwibahasa tunjang pembangunan, kemajuan belajar bahasa ibunda: Ye Kung

DASAR dwibahasa merupakan tunjang yang membentuk pembangunan dan kemajuan pembelajaran bahasa ibunda di Singapura.

Lantaran itu, dalam setiap fasa pendidikan, pelbagai daya usaha diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pembelajaran bahasa ibunda yang rencam daripada peringkat prasekolah hingga prauniversiti.

Menekankan demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) ke-13 di Orchid Country Club semalam, Menteri Pendidikan, Encik Ong Ye Kung, berkata:

"Kalau hendak melentur buluh biar daripada rebung. Peribahasa Melayu ini tepat menggambarkan usaha kita memupuk kemahiran berbahasa pelajar kita.

"Kementerian Pendidikan (MOE) tetap memberikan keutamaan pada pembelajaran bahasa ibunda walaupun persekitaran bahasa kita kian berubah.

"Kanak-kanak disediakan dengan pembinaan asas bahasa ibunda yang kukuh sejak awal menerusi Tadika MOE. Program Literasi Starlight menggalakkan pembelajaran bahasa melalui permainan secara terarah dan interaksi yang bermutu.

"Kanak-kanak didedahkan pada buku besar yang berlatarkan kehidupan di Singapura. Kanak-kanak juga diajar nilai-nilai murni yang dapat digunakan dalam kehidupan harian mereka."

Encik Ong yang menyampaikan ucapan dwibahasa dalam bahasa Inggeris dan Melayu antara lain menggariskan dasar yang diperkenalkan pemerintah dalam memperkukuh asas bahasa ibunda darpada peringkat prasekolah menerusi Tadika MOE.

Di sekolah rendah pula, beliau memberi contoh, Program Sokongan Bahasa Ibunda (MTSP) yang disasarkan buat murid darjah tiga dan empat yang bakal diperkenalkan secara bertahap bermula 2021.

Mengimbas semula pengumumannya pada Mei lalu, beliau berkata peluasan Program Elektif Bahasa Ibunda (LEP) diharap dapat menggalakkan lebih ramai pelajar yang cenderung dan berminat dalam bahasa ibunda agar memburu ilmu ke peringkat lebih tinggi.

Mulai tahun depan, tiga sekolah menengah, Sekolah Menengah Anderson, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan Sekolah Menengah Tanjong Katong akan menawarkan Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP).

Pada peringkat maktab rendah pula, Encik Ong menjelaskan, dua lagi maktab rendah akan menyertai tiga maktab rendah lain dalam menawarkan LEP .

Namun begitu, beliau menekankan meskipun dasar mempengaruhi pembangunan bahasa ibunda, guru menjadi kunci bagi pembangunan holistik seseorang pelajar.

Tahun ini, seramai enam guru Bahasa Melayu diiktiraf dengan Anugerah Guru Arif Budiman atas usaha dan sumbangan mereka mengajar dan mempelajari bahasa ibunda. Sebanyak 677 pencalonan diterima bagi penilaian.

Awal sebelum itu, Pengerusi Bersama Agab, Encik Saat A. Rahman, yang juga Editor Berita Harian, turut menekankan kepentingan memiliki kemahiran dwibahasa di Singapura dan dunia.

Mengulas tentang trend semakin ramai penduduk bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, beliau berkata:

"Ia adalah realiti yang kita terima tetapi kita mahu mengimbanginya dengan bahasa ibunda kerana ia penting dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama. Bahasa adalah jiwa bangsa.

"Bahasa ibunda juga ada nilai ekonomi. Kecekapan dalam bahasa ibunda dapat memperluas peluang kita dan anak-anak kita bukan sahaja di Singapura malah di persada dunia."

Laporan lanjut : Penerima Agab ajar Bahasa Melayu melangkaui bilik darjah