DATA peribadi milik lebih 300,000 pelanggan pusat karaoke, K Box Singapore, telah dibocorkan di Internet.
Sekurang-kurangnya lima pelanggan telah mengesahkan bahawa data yang bocor itu mengandungi nama, alamat rumah, nombor telefon bimbit dan nombor kad pengenalan mereka, walaupun sesetengah maklumat itu tidak dikemaskinikan.
Butir-butir selebriti yang merupakan anggota pusat karaoke itu turut didedahkan.
Selain itu, nombor keahlian K Box dan mata kesetiaan (loyalty points)yang diraih juga terbocor.
Polis mengesahkan satu laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
Pagi tadi, sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka "The Knowns" telah menghantar emel kepada pihak media menyatakan bahawa mereka yang telah membocorkan data tersebut.
Perbuatan itu bertujuan menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenaikan kadar tol di Pusat Pemeriksaan Woodlands baru-baru ini.
Mereka mendakwa, kenaikan itu merupakan "beban kewangan yang tidak perlu bagi pekerja Malaysia" dan mengancam untuk "menyerang dan mendedahkan" lebih banyak pangkalan data syarikat Singapura jika sesuatu tidak dilakukan untuk mengubah kadar tol itu.
Menurut seorang wakil dari K Box, mereka sedang menyiasat sekiranya sistem mereka telah digodam.
K Box yang sebelum ini dimiliki seorang warga Singapura, Encik David Wong, telah dijual kepada Koshidaka Holdings, yang mempunyai beberapa pusat karaoke di Jepun, pada Februari tahun ini.
Seorang anggota K Box yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Lin, 26 tahun, terkejut apabila butir-butir peribadinya, termasuk nombor kad pengenalannya, dibocorkan di Internet.
"Saya belum menggunakan kad keahlian itu lebih daripada 10 tahun," katanya.