DBS Bank pada Rabu (19 Januari) memberi amaran kepada pelanggannya mengenai SMS palsu yang dikirimkan kepada mereka yang mendakwa datang daripada bank berkenaan.
Penipuan itu melibatkan pesanan yang mendakwa akaun pengguna telah digantung secara sementara dan mengundang pengguna mengunjungi laman web palsu yang direka untuk mencuri butiran log-masuk mereka dan kata laluan bagi kegunaan sekali (OTP).
DBS menggesa pelanggannya agar tidak klik pada pautan yang dikirim menerusi pesanan SMS.
"DBS tidak akan meminta butiran akaun anda atau OTP menerusi telefon, e-mel atau SMS. Kami memberi anda jaminan bahawa kami secara aktif sedang menurunkan laman pemancingan data ini," jelas DBS Bank dalam satu pos Facebook.
Penipuan pancingan data menerusi SMS mula menimbulkan perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini selepas hampir 470 pelanggan OCBC Bank menjadi mangsa kaedah serupa bulan lalu dan kehilangan sekurang-kurangnya $8.5 juta.
OCBC berkata pada Rabu ia akan membuat bayaran muhibah kepada kesemua pelanggan yang terjejas bagi meliputi jumlah penuh yang telah hilang.