Debat Belanjawan: Rebat $70 buat kursus rumah tangga pasangan Muslim mulai suku kedua, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:43
Syuruk
7:01
Zuhur
1:06
Asar
4:19
Maghrib
7:11
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Debat Belanjawan: Rebat $70 buat kursus rumah tangga pasangan Muslim mulai suku kedua

Mar 08, 2021 | 10:18 PM

PASANGAN mempelai Islam yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi akan diberi rebat $70 mulai suku kedua tahun ini bagi menghadiri kursus persiapan rumah tangga, Cinta Abadi.

Ini bererti mereka akan membayar kos sepertiga lebih rendah daripada bayaran program asal yang berharga antara $200 dengan $260.

Langkah ini diperkenalkan sebagai usaha pemerintah memperluas sokongan buat proses pembangunan keluarga dalam masyarakat setempat.

Ini diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, di Parlimen pada Isnin (8 Mac).

Kursus ini dikhususkan buat perkahwinan pertama pasangan mempelai yang berdaftar di bawah Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dengan pengantin lelaki berusia sekurang-kurangnya 25 tahun dan pengantin perempuan pula 21 tahun. Salah seorang daripada mereka sekurang-kurangnya mestilah warga Singapura atau Penduduk Tetap (PR) Singapura.

Berita Popular

Kursus dua hari ini dikendalikan dalam talian kerana pandemik Covid-19 yang berlarutan. Ia sudah disertai lebih 10,300 orang sejak ia dimulakan pada 2014. Pasangan yang menghadirinya, antara lain, mempelajari kemahiran komunikasi berkesan, panduan celik kewangan dan bagaimana mengurus cabaran dalam perkahwinan.

Cinta Abadi diperbaharui tahun lalu bagi melibatkan kandungan baru dalam memastikan keluarga yang menghadirinya dilengkapi dengan maklumat relevan, kata Encik Masagos, yang menekankan kepentingan menyokong keluarga dalam masyarakat sedang keperluan mereka menjadi lebih rencam.

Perangkaan yang dikeluarkan Jabatan Statistik menunjukkan bilangan perceraian dalam kalangan pasangan Muslim meningkat. Terdapat 1,697 perceraian dalam kalangan pasangan Muslim pada 2019 berbanding 1,682 perceraian pada 2018 dan 1,637 perceraian pada 2017.

 

 

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map