Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH JAUHARI 2017

Dedikasi tiga dekad bentuk kehidupan kanak-kanak

CEO Busy Bees Asia, Jummaida Rusdon, kini urus 59 tajaka di Singapura, Malaysia dan China melalui enam jenama tajaka dengan pendapatan $130 juta setahun
Oct 08, 2017 | 05:30 AM



SELAMA 30 tahun Cik Jummaida Rusdon mendedikasikan hidupnya untuk membentuk kehidupan ribuan kanak-kanak.



Beliau juga membakar semangat pendidik muda agar dapat menjadi inspirasi dalam kehidupan anak didik mereka.



Pengaruh yang ditebarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Busy Bees Asia itu tidak ternilai harganya.



Jauh sebelum pendidikan awal kanak-kanak menjadi sektor yang diuar-uarkan pemerintah, Cik Jummaida telah membuka sebuah tadika kecil, Small Wonder, di kolong sebuah blok flat di Bukit Batok pada 1989, didorong oleh kesukaran mendapatkan tajaka bermutu untuk anak-anak beliau.



Terkesan dengan kehidupan yang diubah melalui tajaka itu, beliau mengembangkan perniagaannya dengan membuka tajaka Learning Vision.



Hasil kepimpinannya, Cik Jummaida menguruskan 59 tajaka di Singapura, Malaysia dan China melalui enam jenama tajaka seperti Learning Vision International (LVI), Pat's School House dan Oddysey The Global Preschool yang menjana pendapatan $130 juta setahun.



Baru-baru ini, beliau dinobatkan sebagai salah seorang daripada empat penerima Anugerah Jauhari Perniagaan Berita Harian, yang julung-julung kali diberikan.



Beliau meraih anugerah itu bersama tiga lagi penerima iaitu CEO SSA Consulting Group, Encik Suhaimi Salleh; CEO PropNex Realty, Encik Ismail Gafoor; dan CEO MES Group, Encik Mohamed Abdul Jaleel.



"Saya berasa bertuah kerana setiap hari saya dikelilingi oleh kanak-kanak yang memberikan kasih sayang kepada diri saya. Senyuman mereka membuat hari paling sukar menjadi lebih baik.



"Selama 30 tahun, saya dedikasikan hidup saya untuk memperbaiki kehidupan kanak-kanak untuk mempersiap mereka bagi 30 tahun mendatang.



"Masa 30 tahun juga digunakan untuk memupuk dan meyakinkan pendidik muda paling berbakat mengenai kepentingan usaha kita, dan memberi inspirasi mengenai kesan kerjaya ini terhadap anak-anak kita, masyarakat dan masa hadapan kita,'' kata Cik Jummaida, 57 tahun, isteri CEO Bank of Singapore (BoS), Encik Bahren Shaari.



Menyingkap perjalanan keusahawanannya, bekas pedagang saham itu memutuskan membentuk tajaka pertamanya, Small Wonder, di kolong sebuah blok di Bukit Batok pada 1989 semata-mata kerana sukar mendapat tajaka bermutu bagi anaknya yang masih kecil.



Berbekalkan modal sebanyak $25,000, beliau membuka tajaka pertama itu dan mendapat balik modal dalam tempoh enam bulan kemudian.



Kejayaan tajaka pertama itu membuka matanya mengenai potensi perniagaan tajaka, lebih-lebih lagi kerana pemerintah menggalak ramai ibu kembali bekerja.



Jenama Learning Vision diperkenal di tempat-tempat kerja sehingga menjadi rangkaian tajaka swasta terbesar di tempat kerja.



TERIMA BANYAK PENGIKTIRAFAN



Kejayaan Learning Vision menguasai pasaran tajaka swasta di Singapura serta mendapat pelbagai pengiktirafan - misalnya, piawaian People Developer Standard dan Singapore Quality Class (SQC) - menarik minat sebuah syarikat ekuiti privet Amerika Syarikat, Knowledge Universe, untuk membeli syarikat itu pada 2007.



Pada 2014, unit tajaka Asia Knowledge Universe pula dijual kepada gergasi rangkaian prasekolah Britain, Busy Bees, yang sudah bertapak di Britain sejak lebih 30 tahun lalu.



Walaupun syarikatnya sudah dijual kepada pelabur asing, Cik Jummaida masih mempunyai perkongsian saham dalam syarikat Busy Bees Asia dan di Britain.



"Dengan sumber kewangan daripada pelabur asing, modal bukan satu isu untuk kami mengembangkan perniagaan ke luar negara. Sebaliknya, masa boleh digunakan untuk melakarkan strategi bagi perkembangan seterusnya,'' ujar Cik Jummaida.



Bulan lalu, syarikat itu telah membentuk tajaka pertama di Hanbin, China, dan merancang membuka 20 tajaka di sana dalam tempoh lima tahun mendatang.



Sebelum ini, syarikat itu juga telah membeli tajaka Pat's School House di Singapura dan The Children's House di Malaysia.



INGIN TEMBUSI PASARAN BARU DI EMPAT LAGI NEGARA



Dalam perancangannya, Busy Bees Asia ingin menembusi pasaran Australia, Indonesia, Jepun dan Vietnam dalam tempoh lima tahun mendatang, kata ibu tiga anak berusia antara 22 dan 28 tahun itu.



Anak sulung perempuannya kini menjalankan perniagaan sendiri di Hongkong, anak keduanya peguam dan anak lelaki tunggalnya ialah mahasiswa ijazah Sarjana Muda bidang kimia di Universiti Kolej London (UCL).



Menggunakan kepakarannya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, Cik Jummaida juga menyumbang tenaga sebagai anggota lembaga pengarah Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) bagi memberi nasihat mengenai pengurusan dan operasi tajaka badan itu.




"Saya berasa bertuah kerana setiap hari saya dikelilingi oleh kanak-kanak yang memberikan kasih sayang kepada diri saya. Senyuman mereka membuat hari paling sukar, menjadi lebih baik.

Selama 30 tahun, saya dedikasikan hidup saya untuk memperbaiki kehidupan kanak-kanak untuk mempersiap mereka bagi 30 tahun mendatang."

- Cik Jummaida Rusdon, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Busy Bees Asia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >