Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Deepavali lebih meriah dengan anggota keluarga baru

Oct 28, 2019 | 05:30 AM



Deepavali adalah perayaan menyambut kemenangan cahaya menewaskan kegelapan, ilmu mengalahkan kejahilan dan kebaikan menundukkan keburukan. BERITA HARIAN mengetengahkan keluarga muda beragama Hindu yang terus mencuba mengekalkan tradisi dalam persiapan dan sambutan Deepavali mereka.



BAGI keluarga Encik Tamilavel dan isteri, Cik Saranya Pandian, sambutan Deepavali tahun ini akan lebih meriah dengan bertambahnya seorang lagi anggota keluarga mereka.



Ini merupakan tahun pertama anak bongsu keluarga, Kanmani Tamilavel, lapan bulan, menyambut Deepavali.



Perayaan yang menyambut kemenangan cahaya menewaskan kegelapan, ilmu mengalahkan kejahilan dan kebaikan menundukkan keburukan ini juga lebih bermakna bagi Cik Pandian lantaran beliau baru menerima kad pengenalan merah jambunya kurang daripada sebulan lepas.



Ditemui Berita Harian di rumahnya baru-baru ini, keluarga tersebut menceritakan tentang perbezaan persiapan Deepavali tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.



Encik Tamilavel, 40 tahun, yang bekerja dalam industri media, berkata:



"Dahulu persiapan untuk Deepavali dilakukan awal, bahkan sebulan sebelum perayaan, kami sudah mula membershikan rumah, menggantung perhiasan, menampal kad perayaan di dinding, namun pada tahun ini agak sukar melakukan persiapan awal."



Cik Pandian, 31 tahun, seorang suri rumah yang juga jururawat bertauliah, berkata beliau hanya boleh memulakan persiapan dua minggu sebelum perayaan itu.



"Kami akan membersihkan rumah dan menggantungkan perhiasan lampu kelap-kelip dan manik-manik di sekeliling rumah, supaya rumah kelihatan lebih berseri," katanya.



"Saban tahun kami cuba membezakan sedikit perhiasan perayaan kami, selain membersihkan rumah dengan teliti," tambah Encik Tamilavel.



Menurut Cik Pandian, golongan lebih dewasa percaya bahawa dengan melakukan sedemikian, ia akan menambah kemakmuran rumah tangga tersebut.



Kenyataannya itu diangguk-anggukkan oleh ibu Encik Tamilavel, Cik Lakshmanan Dhanapathi, yang tinggal bersama keluarga itu.



Cik Dhanapathi, 65 tahun, akur biasanya seminggu sebelum Deepavali, semua perhiasan perayaan sudah siap dipasang, namun sebab kali ini mereka mempunyai anggota keluarga tambahan yang masih kecil dan memerlukan banyak tumpuan, persiapan menjelang perayaan terpaksa ditunda hingga tempoh akhir.



Tambahan pula, akibat kesakitan di bahagian lutut, beliau tidak boleh membantu dalam persiapan membersih-bersih.



Kini, kebanyakan persiapan membersih dan menghias rumah, serta memasak pelbagai jamuan perayaan seperti beriani kambing dan kuih-muih tradisional seperti muruku, ladu (manisan yang dibuat daripada tepung dal, gula dan minyak sapi), gulab jamun (bebola yang dibuat daripada tepung susu dan digoreng, kemudian direndam di dalam cecair gula atau madu) dan imarti (dibuat daripada tepung lentil dan gula), kini disiapkan oleh anak iparnya, Cik Pandian.



Semakin Deepavali menjelma tiba, semangat perayaan tersebut semakin dapat dirasakan dalam keluarga Encik Tamilavel.



Misalnya, tangan anak sulung keluarga tersebut, Raghave Tamilavel, enam tahun, sudah berhias inai.



Walaupun persiapan perayaan tahun ini sedikit tergendala akibat tumpuan berbelah bahagi antara Kanmani dengan Deepavali, Cik Pandian tetap akan membuat kuih-muih tradisional serta memasak jamuan perayaannya sendiri.



Katanya: "Kami mula siap-siap bahan yang diperlukan pada 2 pagi sehari sebelum Deepavali, dan hanya akan mula memasak pada 4 pagi. Pelbagai juadah yang bakal kami sediakan, antaranya beriani kambing, lauk ayam, telur, mungkin juga ikan dan udang."



Mengulas tentang perasaannya menantikan perayaan Deepavali dengan anggota keluarga tambahan, Cik Pandian berkata:



"Ia sesuatu yang sangat menggembirakan dan meriah, tambah pula kerana saya baru sahaja bergelar rakyat Singapura."



Cik Pandian berasal dari wilayah Madurai di negeri Tamil Nadu, India.



Mengupas perbezaan antara perayaan Deepavali di Madurai dan di Singapura, Cik Pandian berkata:



"Di India, kami menyambut Deepavali bersama saudara-mara kami, yang kebanyakannya sama bangsa.



"Di Singapura pula, kami menyambutnya bersama jiran tetangga, tidak kira bangsa atau agama. Kami kongsi kuih-muih tradisional yang kami buat sendiri bersama mereka."



"Malah amalan memberi 'ang pow' (pemberian duit kepada golongan kanak-kanak atau yang lebih tua), merupakan amalan perayaan yang lazim dilakukan di Singapura, tetapi tidak dilakukan di India," tambahnya.



Encik Tamilavel akur beliau sudah terbiasa menyambut Deepavali di samping jiran tetangga berlainan bangsa dan agama di Singapura, namun bagi Cik Pandian, perkara itu baru baginya dan menganggapnya menarik.



Bahkan, beliau mendedahkan bahawa beliau lebih suka meraikan Deepavali di Singapura berbanding di India.



Sungguhpun demikian, mungkin terdapat satu kelemahan perayaan di Singapura.



Di India, berhampiran kampung halaman Cik Pandian, terdapat sebuah kawasan yang dinamakan Sivakasi, yang terkenal sebagai hab membuat bunga api di Tamil Nadu.



Di sana, bunga api sudah mula ditembak seminggu sebelum perayaan itu dan berpanjangan sehingga seminggu sesudah Deepavali.



Mungkin sahaja mercun dan bunga api yang besar tidak dibenarkan dimainkan di Singapura, tetapi kemeriahan Deepavali tidak bakal terhambat oleh tiadanya bunga api.



Selain bersuka ria mempersiapkan diri untuk Deepavali, terdapat amalan yang dilakukan dengan tertib setibanya hari perayaan.



Pada pagi Deepavali, keluarga Encik Tamilavel akan menyapu minyak bijan ke seluruh badan, sebelum mandi. Amalan ini dipercayai dapat memperbetul suhu badan manusia yang tidak selalunya seimbang.



Selesai mandi, mereka akan bersembahyang sama ada di kuil ataupun di rumah, sebelum meminta keberkatan daripada golongan lebih tua, seperti Cik Lakshmanan, sebagai tanda hormat kepada yang lebih tua.



Setelah mengambil berkat daripada beliau, Cik Lakshmanan akan memberikan anak, menantu serta cucu-cucunya pakaian perayaan yang baru untuk dipakai pada hari itu.



Sama seperti ramai keluarga warga Islam di Singapura, keluarga Encik Tamilavel gemar mengenakan pakaian sama warna sewaktu Deepavali.



Tahun ini, Cik Pandian memilih warna biru sedondon untuk dirinya, ibu mertuanya dan suaminya, sementara kedua-dua anaknya akan mengenakan gabungan merah jambu dan biru gelap.



Sepertinya keluarga Encik Tamilavel sudah bersedia menyambut kedatangan Deepavali tahun ini!




SEKILAS



Deepavali merupakan perayaan yang disambut oleh penganut agama Hindu, Sikh, Jain dan segolongan penganut Buddha.



Ia menyambut kemenangan cahaya menewaskan kegelapan, ilmu mengalahkan kejahilan dan kebaikan menundukkan keburukan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >