Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Sertai Mr World demi hapus hasrat kepada dadah

Jan 27, 2023 | 05:30 AM



RASA tersisih daripada masyarakat adakalanya bermain di benak Encik Mohammad Hairul Borhan selepas beliau dibebaskan dari penjara pada 2019.



Setelah menjalani hukuman 12 setengah tahun pada 2011 bagi kesalahan mengedar dadah, yang kemudian dikurangkan kepada lapan tahun dan empat bulan kerana kelakuan baik, beliau akur kadangkala agak sukar untuk membuang perasaan sedemikian.



"Saya sedar perkara ini hanya bisikan hati dan permainan minda tetapi dambaan untuk rasa seperti orang biasa dan seperti sediakala tetap ada," ujar jurulatih peribadi bertubuh sasa yang berusia 39 tahun itu.



Lantaran itu, beliau membuat keputusan menyertai peraduan Mr World Singapore 2022 yang dianjurkan September lalu.



Meskipun tidak memenangi peraduan tersebut, beliau tampil sebagai antara 10 peserta teratas dalam kalangan ratusan peserta lain.



Lebih daripada itu, ia bak detik permulaan semula baginya kerana beliau rasakan seperti sebahagian daripada sebuah masyarakat, di samping dapat pelajari pelbagai perkara baru.



Dengan nada yang lembut, Encik Hairul menambah:



"Apabila saya melangkah kaki ke pentas sebagai peserta Mr World, orang ramai tidak tahu saya dari mana mahupun sejarah silam saya.



"Saya rasa saya adalah sebahagian daripada masyarakat (peserta) yang menerima saya seadanya."



Menurutnya, beliau mula menyertai kumpulan samseng pada usia 16 tahun kerana ia membuatnya rasa seperti sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar.



Pada 2010 pula, beliau mula mengedar dadah ketika beliau berusia 26 tahun.



Keinginan untuk berubah muncul dalam dirinya saat beliau dibebaskan dari penjara kerana beliau ingin menyumbang kembali kepada masyarakat, di samping sokongan ibunya yang tidak putus-putus.



"Ibu saya memberi sokongan kepada saya seberapa mampu sepanjang perjalanan saya.



"Semasa pertandingan misalnya, beliau akan memasak dan menyiapkan sajian yang sihat.



"Tambahan juga, saya rasa saya boleh gunakan (pengalaman) yang saya lalui untuk bantu lebih ramai orang," tambah beliau.



Beliau kini merupakan rakan pendamping atau Peer Leader bersama Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana) bagi merealisasikan matlamat hidupnya kini iaitu membantu orang lain yang pernah melalui pengalaman sepertinya dahulu.



Baru-baru ini, beliau telah menanam pokok dalam satu acara kendalian Sana di Taman Sungei Serangoon, yang mana ia melambangkan iltizam untuk menguburkan sebarang keinginan kembali ke dalam kancah dadah.



Di sebalik wajahnya yang agak bengis, terpancar semangat dan keyakinan baru tatkala beliau menceritakan iltizamnya untuk kekal bebas dadah.



Menurutnya, sebagai bekas penagih, keghairahan untuk kembali ke tabiat lama tetap ada tetapi kekuatan mental dan pendirian seseorang haruslah kuat, di samping sokongan orang yang tersayang.



Sambil tersenyum, beliau menjelaskan beliau juga telah kekal bebas daripada menghisap rokok selama sekitar 13 tahun.



"Bagi saya, kecekalan adalah kebolehan untuk terus berjuang dan sebagai bekas penagih, setiap hari mencabar kerana perlu lawan cetusan keghairahan tersebut.



"Yang penting adalah untuk mengutamakan apa yang penting dan sibukkan diri, dan rasa itu akan pudar," jelasnya.




“Apabila saya melangkah kaki ke pentas sebagai peserta Mr World, orang ramai tidak tahu saya dari mana mahupun sejarah silam saya. Saya rasa saya adalah sebahagian daripada masyarakat (peserta) yang menerima saya seadanya.”
- Encik Mohammad Hairul Borhan. Beliau dibebaskan dari penjara pada 2019 atas kesalahan mengedar dadah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >