Penduduk terkejut dengan dentuman kuat setelah 45 kilogram serbuk klorin dituang ke dalam saluran kumbahan awam oleh sebuah sekolah renang.
Seorang penjaga penyelenggaraan di lokasi di Jurong East itu telah membuangnya tanpa menyedari ia akan menyebabkan tindak balas.
Pekerja Happy Fish Swim School itu membuangnya sekitar 8.30 malam pada Jumaat (5 Mac), setelah menyedari bau kuat dari tong klorin itu, yang telah terdedah kepada udara lembap.
Tidak ada kecederaan atau kerosakan dilaporkan, lapor The Straits Times.
Pengasas sekolah itu, Encik Tan Jian Yong, dalam satu catatan di Facebook berkata, penjaga penyelenggaraan itu "mengambil inisiatif membuang serbuk klorin tersebut ke dalam kumbahan tanpa mengetahui yang ia akan menimbulkan masalah".
Jurucakap agensi air nasional PUB berkata "sejumlah besar" kalsium hipoklorit telah diletakkan ke dalam saluran kumbahan. Sebatian klorin itu biasanya digunakan sebagai pembasmi kuman atau bahan peluntur.
Jurucakap itu berkata kejadian itu tidak menjejas sistem kumbahan atau mutu air terpakai, yang mengalir ke loji pemulihgunaan untuk rawatan.