SEKITAR RAMADAN

Derma masyarakat kepada TAA terus utuh

SAMBUTAN yang diterima Tabung Amal Aidilfitri (TAA) tetap memberangsangkan, meskipun dalam kelembapan ekonomi sekarang.

Ini berdasarkan derma yang diterimanya sejauh ini.

Sebanyak $53,820 dikumpul daripada kiraan pertama yang dijalankan di pejabat TAA di Tanjong Katong Complex semalam.

Jumlah tersebut lebih tinggi daripada yang dikumpulkan tahun lalu iaitu sebanyak $42,400 bagi tempoh yang sama.

Ini merupakan jumlah yang diraih daripada 10 kotak derma yang diletak di tiga kawasan utama, iaitu Joo Chiat Complex, Tanjong Katong Complex dan pasar Geylang Serai, sama seperti tahun lalu.

Ketua jawatankuasa eksekutif TAA, Encik Muhd Harmizan Abdul Hamid, berkata antara faktor yang mungkin menarik masyarakat Melayu/Islam terus menderma kepada pertubuhan tidak mencari untung ini ialah ketelusannya.

"Sepanjang 25 tahun TAA berfungsi, ketelusan yang ditampilkan TAA serta cara-cara kami mengendalikan habuan dan bantuan yang diberikan kepada mereka yang memerlukan amat jelas.

"Oleh itu, masyarakat rasa selesa untuk tampil dan menderma," ujarnya.

Tahun ini, TAA meletak tabung derma di beberapa tempat baru, termasuk pusat beli- belah East Point dan Our Tampines Hub dan tempat makan seperti Teh Tarik dan restoran makanan cawangan Arnold's di Hougang serta City Plaza.

Sebanyak 60 tabung derma diletak di serata Singapura tahun ini.

Seperti dua tahun lalu, TAA sekali lagi merupakan badan amal angkat Rosevalley, dan akan mengambil bahagian dalam Celebfest tahun ini.

"Kami amat ghairah kerana dalam masa tiga hari Celebfest sepanjang dua tahun lalu, kami dapat raih $20,000," katanya.

Daripada segi jumlah penerima, sebanyak 3,000 permohonan diterima tahun ini dan sejauh ini 2,700 diluluskan.

Galeri Foto