Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KAHWIN CAMPUR

'Di dalam kuali bertemu', dijalin nilai-nilai universal

Oct 13, 2019 | 05:30 AM



IKAN di laut, asam di darat; di dalam kuali bertemu jua.



Dia datang dari jauh - Ghana - dan saya anak Singapura tetapi kalau namanya sudah jodoh, tak lari ke mana.



Begitulah kisah percintaan saya yang sudah terjalin selama sedekad ini.



Dan kurang tiga bulan lalu, kami mendirikan rumah tangga di Singapura.



Saya dan suami, Kelvin Kyeremeh, mengenali satu sama lain semasa di universiti di sini.



Ia bukan cinta pandang pertama bagi saya. Malah, tidak terlintas pun dalam fikiran saya untuk bercinta dengan orang asing.



Namun, selama setahun, Kelvin tidak putus-putus 'mengejar' saya dan berusaha gigih membuktikan dia lelaki yang baik dan saya pun akhirnya terjatuh hati.



Kali pertama saya memperkenalkan Kelvin kepada ibu bapa saya ialah semasa saya berusia 19 tahun.



Keluarga saya adakan rumah terbuka semasa Hari Raya dan saya turut mengundang Kelvin dan rakan-rakan yang lain ke rumah.



Ibu bapa saya tidak memberi sebarang reaksi ketika itu, mungkin kerana saya masih remaja.



Tetapi tahun demi tahun, mereka dapat melihat bahawa saya dan Kelvin serius menjalin percintaan.



Oleh itu, apabila beliau datang ke rumah untuk masuk meminang tahun lalu, ibu bapa saya tidak rasa terkejut, malah sudah menjangkakannya.



BELAJAR KENAL BUDAYA SATU SAMA LAIN



Setiap kali saya perkenalkan Kelvin kepada rakan saya, antara soalan yang akan susul selepas itu ialah 'dia faham budaya kita?' atau 'boleh tak dia makan makanan Melayu?'.



Persoalan mengenai agama dan budaya sememangnya satu keprihatinan yang membelenggu fikiran saya dan keluarga sejak awalnya.



Namun syukur, tentang soal agama, Kelvin, yang sebelum ini beragama Kristian, sendiri mulakan inisiatif untuk belajar mengenali dan memeluk Islam.



Dalam soal adat dan budaya pula, ia satu proses dua hala - saya perlu mengajarnya tentang budaya Melayu dan pada masa yang sama, dia juga mengajar saya tentang budaya Ghana.



Bagi saya, perkara seperti mencium tangan apabila bersalaman dengan orang tua dan makan menggunakan tangan kanan adalah sesuatu yang lumrah, tetapi ini perlu saya sering ingatkan kepada Kelvin.



Selama kami menjalin hubungan, saya berpeluang mengunjungi keluarganya beberapa kali di Ghana.



Masyarakat di sana berbeza daripada masyarakat Singapura secara amnya. Mereka lebih terbuka dan sosial, dan hubungan jiran tetangga amat rapat. Rumah mereka sentiasa ada orang yang datang, termasuk keluarga, rakan-rakan dan jiran.



Jika kita bersalaman apabila bertemu, mereka pula berpelukan antara satu sama lain.



Ini satu perkara yang saya rasa kurang selesa, namun mujur keluarga dan rakan Kelvin memahami perkara ini.



Dalam soal makanan pula, alhamdulillah, tiada masalah kerana kami berdua kuat makan.



Hari ini, Kelvin tidak boleh hidup tanpa nasi ayam, sambal udang dan ayam masak merah, dan apabila saya ke Ghana, saya pasti tidak akan lepaskan peluang makan jollof (nasi yang dimasak dengan tomato, bawang, garam, rempah dan lada), ubi rebus dan ikan tilapia panggang.



NILAI-NILAI UNIVERSAL



Sebelum mendirikan rumahtangga, banyak soalan yang saya terima daripada pelbagai pihak - 'Bila dah kahwin nanti, kau nak ikut cara dia atau dia ikut cara kau? dan 'Nanti bila ada anak, anak nak cakap bahasa apa?'.



Sejujurnya, jika dikeluarkan faktor perbezaan budaya dan negara, saya rasa saya dan Kelvin tiada bezanya daripada pasangan lain di luar sana.



Seperti pasangan lain, kita adalah dua individu yang sama-sama berusaha membina dan memperkukuhkan perkahwinan kita atas nilai-nilai universal seperti kasih sayang, saling menghormati dan memahami, belas kasihan, tolak ansur, kejujuran serta kepercayaan.



Pada pandangan saya, cabarannya lebih kepada memahami personaliti unik masing-masing, sama juga seperti pasangan lain yang baru berumahtangga, tidak kira bangsa.



Saya orangnya degil, tidak sabar, cepat naik darah dan tidak suka berlengah. Kelvin pula orangnya penyabar, tenang dan kadangkala, terlalu relaks.



Biasanya yang selalu lekas melenting ialah saya, tetapi mujur, setiap kali kita bergaduh, Kelvin lebih suka duduk berbincang dan mendengar luahan hati saya supaya dapat selesaikan masalah dengan tenang.



Saya rasa dalam mana-mana keluarga pun, komunikasi dan sikap mendengar itu amat penting.



Nilai-nilai universal ini saya pasti turut diajarkan dalam apa jua budaya di dunia.



Dan bagi soal masa depan dan anak pula, insya-Allah apabila dikurniakan cahaya mata kelak, kami bukan hanya mahu anak kami selesa dan fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Akan (bahasa ibunda Kelvin), malah pelbagai bahasa lain di dunia.



Secara semula jadi, anak kami juga akan terdedah kepada kedua-dua budaya Melayu dan Ghana dan harapan kami adalah anak itu dapat sesuaikan diri di mana jua dia berada di dunia.



Apa yang penting adalah keluarga kami ini terus menjadi keluarga yang penuh dengan nilai-nilai universal, seperti kasih sayang dan kepercayaan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >