Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Di sebalik mendung ada kecerahan

Jul 21, 2019 | 05:30 AM



MESKIPUN dengan ekonomi lebih perlahan, sektor domestik seperti pendidikan awal kanak- kanak dan jagaan kesihatan akan terus tumbuh secara mapan lantas menawarkan peluang pekerjaan baik.



Menurut pengamat industri, sektor itu didorong faktor seperti trend domestik dan serantau jangka panjang, pelaksanaan teknologi dan pertumbuhan gaji.



Prospek pekerjaan bagi sektor media infokom teknologi dan logistik juga cerah, sedang trend pengguna dan perniagaan menyesuaikan diri kepada permintaan global, kata mereka yang ditinjau.



Ramalan awal menunjukkan ekonomi negara tumbuh hanya 0.1 peratus pada suku kedua tahun ini, dengan sektor perkilangan paling teruk terjejas.



Namun sektor seperti perkhidmatan dan binaan terus mencatatkan pertumbuhan konsisten.



Perangkaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menunjukkan 10 pekerjaan kosong utama tahun lalu bagi sektor perkhidmatan termasuk penolong jagaan kesihatan, jururawat dan guru prasekolah.



Memberi pandangannya, Naib Presiden Eksekutif Pasaran Global, Perbankan Global, Maybank Group, yang juga Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, berkata:



"Sejak beberapa tahun lalu, penambahan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan kukuh, berbanding pekerjaan dalam bidang perkilangan, yang umumnya merosot. Dalam sektor perkhidmatan, kita melihat sektor berpusat domestik, khususnya pendidikan awal kanak-kanak dan jagaan kesihatan dijangka mencatatkan pertumbuhan yang boleh dikekalkan pada masa depan kerana trend penduduk yang semakin berubah."



Secara umumnya, Encik Saktiandi berkata pertumbuhan dalam semua sektor itu lebih didorong oleh trend domestik dan serantau, demografik, pertumbuhan gaji dan pelaksanaan teknologi.



"Kemungkinan ia tidak akan dijejas oleh ketidaktentuan pertumbuhan jangka pendek atau risiko luaran seperti ketegangan dagangan Amerika-China.



"Dari perspektif sektor awam, kedudukan fiskal dan rangka kerja dasar yang kukuh memberi keyakinan kita dapat mengharungi masa sukar dan pastikan sumber mencukupi untuk sektor yang masih berkembang ini.



"Dari perspektif sektor privet pula, terdapat insentif kukuh untuk melabur dalam bidang-bidang ini bagi memenuhi permintaan jangka panjang," kata Encik Saktiandi.



Encik Foo See Yang, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Singapura firma pengambilan pekerja, Kelly Services, berpendapat walaupun ekonomi Singapura diramal tumbuh lebih perlahan kerana ketidaktentuan ekonomi global, banyak sektor - termasuk jagaan kesihatan dan infokom media - dijangka terus cergas didorong era digital.



"Sokongan pemerintah, khususnya yang diumumkan semasa Belanjawan tahun ini, akan membantu syarikat setempat berubah dengan memberi lebih banyak akses kepada bantuan modal dan pasaran baru.



"Gangguan digital telah memberi kesan pada semua sudut ekonomi dan inisiatif pemerintah bagi menggalak teknologi digital kini telah menghasilkan banyak peluang pertumbuhan," ujar beliau.



Pensyarah undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan, pula berkata permintaan bagi modal insan dalam sektor itu sudah ada dan akan terus tumbuh pada masa terdekat dan masa panjang.



"Dalam ekonomi muram, perbelanjaan mungkin mengecut tetapi tidak akan terlalu teruk terjejas kerana khidmat seperti pendidikan awal kanak- kanak dan jagaan kesihatan penting," terangnya.



Tetapi, Profesor Tan mengingatkan jika sektor-sektor itu tidak memenuhi standard diperlukan, khususnya sektor bersifat luaran seperti rangkaian bekalan dan infokom, maka tidak mudah untuk Singapura bersaing dengan pasaran lain.



"Maka itu, pertumbuhan sesuatu sektor bergantung kepada sejauh mana Singapura dan tenaga kerjanya kekal relevan, inovatif dan bekerja keras pada masa senang dan susah," tambahnya.



Bagi sektor pendidikan awal kanak-kanak, Encik Saktiandi berkata satu trend yang akan mendorong pertumbuhannya ialah lebih ramai ibu bapa yang bekerja lantas merangsang permintaan untuk khidmat jagaan bayi dan tadika.



Trend positif juga diperhatikan bagi sektor jagaan kesihatan.



"Dengan bilangan penduduk semakin meningkat, ini bermakna perlunya lebih ramai doktor, jururawat dan kakitangan jagaan kesihatan lain yang bertanggungjawab dan terlatih, bagi menolong menangani masalah kronik yang semakin meningkat," terang Encik Saktiandi.



Mencerminkan hal ini, Cik Linda Teo, Pengurus Negara syarikat pengambilan pekerja, ManpowerGroup Singapore, melihat banyak permintaan dari pihak majikan dalam sektor itu.



"Terdapat permintaan kukuh untuk bakat yang boleh mengisi jawatan dalam sektor ini kerana terdapat keperluan yang meningkat bagi khidmat jagaan kesihatan.



"Selain itu, terdapat kekurangan bakat dalam industri ini sebab semakin ramai karyawan jagaan kesihatan terlatih memasuki industri lain yang mungkin menawarkan gaji lebih tinggi," tambah Cik Teo.



Meskipun dengan ketidaktentuan dasar dagangan global ketika ini, namun sebagai hab logistik utama global, Singapura terus berpeluang menikmati manfaat dan berkembang.



Ini dengan wujudnya trend jangka panjang seperti kebangkitan kelas pertengahan Asia, yang akan merancakkan aliran barangan antara Asia dan industri logistik umumnya, kata pemerhati.



"Misalnya, gudang dan wadah pengiriman moden akan semakin bergantung kepada berbagai alat analitik data, sistem IoT, robot dan automasi.



"Ini akan mendorong permintaan bagi karyawan berkemahiran dalam menangani sistem maklumat logistik, penyelarasan projek dan perancangan rangkaian bekalan," tambah Encik Saktiandi.



Sementara itu, teknologi maklumat akan terus memainkan peranan penting bagi memacu perubahan digital negara dalam mencapai status Negara Bijak.



Jelas Encik Foo, tenaga kerja dalam sektor infokom memainkan peranan genting bagi membantu syarikat harungi perjalanan transformasi digital.



"Jawatan seperti penganalisis sistem perniagaan dan 'big data' terus menjadi pekerjaan 'panas' bagi tahun ini. Pakar keselamatan siber juga ada permintaan sedang pencerobohan data dan risiko serupa terus bertambah," kata beliau.



Berkongsi sentimen serupa, Cik Teo berkata permintaan bagi khidmat infokom dan teknologi akan terus rancak sedang lebih banyak syarikat menjalani automasi.



Malah, katanya, majikan sedia membayar gaji tinggi untuk bakat yang memiliki kemahiran terkini kerana persaingan sengit dan bekalan bakat terhad.



Apakah yang boleh dilakukan oleh warga Singapura yang mahu merebut peluang dalam sektor-sektor ini?



"Dengan kitaran kemahiran semakin singkat dengan cepat, mereka yang mencari kerja harus sedar peluang diambil bekerja tidak lagi bergantung kepada apa yang mereka sudah tahu tetapi bergantung kepada keupayaan mereka untuk terus belajar.



"Justeru mereka yang menunjukkan kemahuan untuk belajar kemungkinan ada kelebihan apabila mencari kerja," nasihat Cik Teo.



Menurut pemain industri, kemahiran penting yang harus dimiliki hari ini termasuk kemahiran teknikal dan digital serta kemahiran insani (soft skills).



Tambah Encik Foo, usaha meningkatkan kemahiran semula dan kemahiran baru adalah perlu bagi majoriti pekerja.



"Contohnya, sedang rekod perubatan menjadi digital sepenuhnya dalam beberapa tahun lagi, kemahiran digital akan membolehkan pekerja kekal relevan," jelasnya.




Atiyyah Mohd Said koresponden BH/BM. Antara berita yang dihasilkannya termasuk laporan tentang 'Ekonomi Singapura tumbuh hanya 0.1 peratus' dan wacana khas sempena Hari Ibu bertajuk 'Emak tunjang keluarga setelah Ayah pergi selamanya'.



IG: atiyyahms



Twitter: atiyyahms




APA KATA PAKAR



Sokongan pemerintah, khususnya yang diumumkan semasa Belanjawan tahun ini, akan membantu syarikat setempat berubah dengan memberi lebih banyak akses kepada bantuan modal dan pasaran baru. Gangguan digital telah memberi kesan kepada semua sudut ekonomi Singapura dan inisiatif pemerintah bagi menggalak teknologi digital kini telah menghasilkan banyak peluang pertumbuhan.
- Pengarah Urusan dan Ketua Negara Singapura di firma pengambilan pekerja, Kelly Services, Encik Foo See Yang.



" Dalam ekonomi muram, perbelanjaan mungkin mengecut tetapi tidak akan terlalu teruk terjejas kerana khidmat seperti pendidikan awal kanak-kanak dan jagaan kesihatan penting... Maka itu, pertumbuhan sesuatu sektor bergantung kepada sejauh mana Singapura dan tenaga kerjanya kekal relevan, inovatif dan bekerja keras pada masa senang dan susah.
- Pensyarah undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan.




SEKTOR TERUS BERKEMBANG



1. Pendidikan awal kanak-kanak



Trend dalam sektor:



- Lebih ramai pasangan dan datuk nenek bekerja



- Kesedaran meningkat mengenai penting pembangunan pendidikan awal



- Pertumbuhan tenaga kerja lebih perlahan



Permintaan meningkat:



- Memenuhi keperluan 170,000 kanak-kanak



- 5,000 dalam jagaan bayi



- 90,000 dalam nurseri/playgroup



- 75,000 dalam tadika



Lebih ramai karyawan diperlukan:



- Hari ini terdapat sekitar 17,000 guru, pendidik dan pengetua



- Di bawah pelan Perancangan Perubahan Industri (ITM), 20,000 diperlukan menjelang 2020



2. Jagaan kesihatan



Trend jangka panjang:



- Bilangan penduduk semakin tua



- Tanggungan penyakit kronik meningkat



- Pertumbuhan tenaga kerja lebih perlahan



- Kos jagaan kesihatan lebih tinggi



Tenaga kerja:



- 96,000 karyawan jagaan kesihatan sekarang seperti jururawat, pekerja jagaan sokongan



- Memerlukan tambahan 30,000 pekerja menjelang 2020



3. Media infokom



Tiga trend memacu perubahan digital:



- Memandu syarikat melaksanakan teknologi



- Meneroka bidang pertumbuhan baru dengan memanfaatkan teknologi baru



- Memperkukuh teras syarikat dan karyawan infokom media yang bertenaga



Sasaran industri bagi 2015 hingga 2020:



- Mewujudkan lebih 13,000 pekerjaan baru bagi PMET



- Lebih 201,000 pekerja media infokom/teknologi



- Mencapai pertumbuhan nilai tambahan nominal 6 peratus



4. Logistik



Sasaran menjelang 2020:



- Mewujudkan 2,000 pekerjaan baru bagi PMET



- Mencapai nilai tambahan $8.3 bilion



Faktor pacu pertumbuhan:



- Trend global seperti kebangkitan Asia



- Perniagaan baru dan perkembangan perkilangan seperti runcit berbagai saluran



- Teknologi baru



Sumber: MTI, EDB, IMDA, MOH, ECDA, MOM




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >