Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DIALOG AMRIN DENGAN RELAWAN PROJEK MASYARAKAT REBEN KUNING

Rangkaian M³ akan hulur bantuan, sokongan pada keluarga banduan

Oct 25, 2018 | 05:30 AM



RANGKAIAN M Kuasa Tiga (M³) akan menggembleng tenaga dan sumber untuk membantu keluarga banduan menerusi sokongan bagi keluarga, kaunseling agama dan sokongan masyarakat.



Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin, berkata demikian kepada media selepas satu sesi dialog dengan relawan Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP) Divisyen Akar Umbi MacPherson, relawan Masjid Sallim Mattar dan penerima bantuan YRCP, kelmarin.



M³ merangkumi Yayasan Mendaki, Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Sesi yang berlangsung di Kelab Masyarakat MacPherson itu dihadiri sekitar 30 peserta yang antara lain memberi maklum balas tentang sokongan yang diraih penerima bantuan menerusi YRCP dan apa lagi yang boleh dilakukan untuk membantu mereka sementara anggota keluarga mereka menjalani hukuman penjara.



YRCP merupakan satu daya usaha akar umbi yang bertujuan memberi sokongan proaktif serta bantuan kepada keluarga pesalah.



Di bawah program itu, relawan akar umbi yang terlatih akan antara lain melawat keluarga pesalah yang baru dipenjara bagi menawarkan bantuan.



Ini termasuk menghubungkan mereka dengan rangkaian sokongan sosial yang relevan.



Menggariskan bagaimana M3 dapat menggembleng tenaga bagi memberi sokongan kepada keluarga pesalah, Encik Amrin berkata masjid boleh memainkan peranan yang baik untuk menyatupadukan masyarakat, menghulur bantuan dan menyebarkan mesej tentang di mana mereka boleh mendapatkan bantuan.



"Ramai yang meminta sokongan asuhan agama. Mereka mengutamakan masjid sebagai satu pusat.



"(Masjid juga boleh) menjadi satu ikatan masyarakat, dengan (keluarga pesalah) dapat berkongsi pengalaman, dapat tahu di mana tempat mengadu nasib dan sebagainya," katanya.



Tambahnya, Mendaki juga boleh memainkan peranan lebih penting untuk memantapkan lagi sokongan bagi keluarga dan anak-anak pesalah.



"Mungkin kita boleh adakan satu program yang memberi tumpuan kepada keperluan keluarga yang terkesan ini.



"Contohnya, dari segi terapi seni untuk memberi mereka sokongan dan satu wadah berkongsi pengalaman dan isi hati mereka," ujarnya.



Selain itu, Mesra pula boleh memainkan peranan memberi maklumat atau merujuk keluarga pesalah ini kepada program atau agensi relevan yang boleh membantu mereka.



Semasa sesi dialog itu, Encik Amrin menarik perhatian bahawa segelintir orang tidak tahu di mana mendapatkan bantuan, khususnya warga emas seperti nenek yang perlu menjaga cucu mereka akibat ibu bapa mereka yang melakukan kesilapan dan dipenjara.



Oleh itu, beliau berkata golongan ini harus dibantu agar mereka mendapat pertolongan sewajarnya.



Namun, beliau menarik perhatian, usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk individu, keluarga, badan Melayu/Islam dan pemerintah.



"Kita harus bergabung tenaga supaya dapat menghuraikan masalah ini. Perkara ini rumit tapi sebenarnya ia menjadi rumit kerana sikap tidak ambil endah (oleh individu), contohnya sikap tidak bertanggungjawab terhadap keluarga dan perbuatan mengambil dadah.



"Ini mendatangkan kemudaratan dan asasnya, usaha perlu dijalankan untuk memastikan keluarga tidak terjebak dalam masalah ini. Ini satu strategi yang penting dan inilah satu tumpuan M3," kata Encik Amrin.



Antara lain, beliau berkata M3 akan memberi sokongan kepada keluarga daripada awal supaya mereka tahu tentang pentingnya menjaga kewangan dan keluarga, misalnya.



Bagi keluarga yang sudah pun terjejas dengan masalah ini pula, Encik Amrin berkata jaringan keselamatan diperlukan, dengan masyarakat memberi sokongan agar mereka juga dapat berdikari.



Seorang peserta sesi dialog itu, Cik Saleemah Ismail, berpendapat bahawa model kerjasama M3 itu dapat mengelakkan pertindihan usaha dan sumber.



"Dengan menggunakan model kerjasama, M3 dan badan lain yang terlibat boleh bekerjasama demi memastikan tiada keluarga terlepas daripada jaringan keselamatan yang ada.



"Mereka juga memerlukan sokongan. Kita juga harus memastikan kanak-kanak daripada keluarga ini mendapat bantuan pada peringkat awal bagi mengelak daripada anggota lain dalam keluarga itu turut membuat kesilapan dan dipenjara," kata Cik Saleemah yang juga pengasas New Life Stories, sebuah badan tidak meraih keuntungan yang menawarkan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak yang ibu mereka dipenjara.



Usaha YRCP diharap dapat menyokong dan menstabilkan keluarga yang terjejas akibat anggota keluarga mereka dipenjara serta membolehkan pesalah itu memberi tumpuan sepenuhnya pada proses pemulihan.



Sejak dilancarkan pada September 2010, YRCP telah berkembang daripada lapan divisyen kepada 75 kini.



Sehingga Ogos tahun ini, lebih 900 relawan akar umbi telah pun menjalani latihan dan mereka juga sudah mendekati lebih 9,000 keluarga pesalah di seluruh negara.




"Kita harus bergabung tenaga supaya dapat menghuraikan masalah ini. Perkara ini rumit tapi sebenarnya ia menjadi rumit kerana sikap tidak ambil endah (oleh individu), contohnya sikap tidak bertanggungjawab terhadap keluarga dan perbuatan mengambil dadah.

Ini mendatangkan kemudaratan dan asasnya, usaha perlu dijalankan untuk memastikan keluarga tidak terjebak dalam masalah ini. Ini satu strategi yang penting dan inilah satu tumpuan M3."

- Encik Amrin Amin, Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), dalam dialog dengan relawan Projek Masyarakat Reben Kuning di Kelab Masyarakat MacPherson.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >