Didakwa bunuh isteri di Woodlands: Lelaki hadir di mahkamah

LELAKI yang minggu lalu didakwa membunuh isterinya di flat mereka di Woodlands muncul buat kali pertama di mahkamah pada Isnin (6 Feb).

Bekas ejen hartanah Teo Ghim Heng, 41 tahun, sebelum ini dirawat di Hospital Besar Singapura (SGH), tempat dia dikenakan dakwaan melalui hubungan video pada 30 Jan membunuh isterinya, Cik Choong Pei Shan, 39 tahun, pada 20 Jan.

Teo, yang juga dikenali sebagai Zhang Jinxing, keluar SGH pada 1 Feb.

Dia hadir di mahkamah pada Isnin untuk sebutan semula kes itu, dan akan muncul di mahkamah sekali lagi pada 13 Feb.

Bapa dan adiknya, yang berada di mahkamah pada Isnin, memberitahu pemberita mereka akan mendapatkan seorang peguam.

Mayat Cik Choong dan anak perempuan beliau yang berusia empat tahun, Teo Zi Ning, ditemui dalam bilik tidur flat mereka lapan hari kemudian pada 28 Jan, iaitu hari pertama Tahun Baru Cina.

Cik Choong, yang juga dikenali sebagai Zhong Peishan, sedang hamil anak lelaki enam bulan semasa mayatnya ditemui.

Pembunuhan itu didakwa berlaku di flat tingkat enam di Blok 619, Woodlands Drive 52.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 7 Disember 2009. Ia perkahwinan kedua Teo.

Jika disabitkan kesalahan membunuh, dia akan menghadapi hukuman mati.

Galeri Foto