SEORANG lelaki yang dikejutkan daripada tidurnya oleh dua pegawai polis di rumahnya pada 12 Disember kemudian mendakwa wangnya sebanyak $8,000 hilang dan pasangan polis itu "ada peranan" dalam kehilangan wang tersebut.
Ternyata kemudian bahawa wang itu tidak pernah dimilikinya pun. Vinesh Kumar Ganesan, 33 tahun, meneruskan pembohongannya kepada pegawai penyiasat pada hari itu.
Warga Malaysia itu akhirnya mengaku kepada polis pada 13 Disember bahawa dia berbohong, lapor The Straits Times.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) R. Arvindren berkata: "Dia mendakwa bahawa dia mabuk, letih dan kecewa kerana dikejutkan... yang menyebabkan kenyataan palsu itu diberikan oleh tertuduh."
Secara berasingan, Vinesh juga melakukan kesalahan termasuk menunggang motosikal semasa di bawah pengaruh arak dan berbuat demikian tanpa lesen.
Semalam, dia dijatuhkan hukuman penjara empat minggu dan denda $6,800. Vinesh juga dilarang memandu semua jenis kenderaan di Singapura selama tiga tahun.
Dia mengaku bersalah bagi empat tuduhan, termasuk memberi maklumat palsu kepada pegawai perkhidmatan awam dan menunggang motosikal ketika di bawah pengaruh arak.
Pada awal pagi 12 Disember tahun lalu, dua pegawai polis pergi ke rumah Vinesh, sebagai respons terhadap satu kes serangan kerana rakan sebiliknya meminta bantuan.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan alamat dan butiran serangan itu. Vinesh dikejutkan oleh kehadiran pasangan polis itu pada kira-kira 3.30 pagi.
Menurut DPP Arvindren, Vinesh mencari beg yang digunakannya untuk menyimpan kad pengenalannya tetapi tidak menemuinya. Tidak lama kemudian, salah seorang pegawai polis itu menemui beg itu di dalam sebuah lagi bilik dan menyerahkannya kepada tertuduh.
"Tertuduh memeriksa begnya dan memberitahu polis wang tunainya berjumlah $8,000 hilang."
Vinesh kemudian membuat laporan di Pusat Polis Kejiranan Pasir Ris, menuduh dua pegawai polis itu "ada peranan" dalam kehilangan wang tersebut. Menyusuli satu siasatan, dia akhirnya mengaku berbohong esoknya.