SEORANG penjaga stor yang menipu beberapa mangsa di Internet kira-kira $3,000 dipenjara lapan minggu pada Rabu (25 Nov).
Muhammad Amer Hamzah Mohammadi, 28 tahun, menipu 46 orang sejumlah $2,795 dengan menyamar sebagai seorang wanita yang menawarkan khidmat seks.
Dia juga menipu lapan orang sebanyak $330 bagi barang dalam talian yang dia dakwa untuk dijual.
Amer mengaku bersalah bagi 10 daripada 54 pertuduhan, dan telah memulangkan kesemua wang $3,125 itu.
Mahkamah diberitahu, antara hujung 2013 dan Julai tahun lalu, dia membuka beberapa akaun di rangkaian sosial dan laman sembang dan menyamar sebagai seorang wanita yang menawarkan khidmat seks pada bayaran $60.
Dia akan berjanji dengan mangsanya untuk bertemu di sesebuah tempat, biasanya di kawasan Bedok.
Setelah tiba di tempat itu, Amer akan menyuruh mangsanya membuat bayaran penuh melalui pemindahan wang ke akaun POSB di mesin juruwang automatik (ATM) sebelum bertemu mereka.
Selepas wang tersebut dipindahkan, dia akan berhenti berhubungan dengan mereka dan mengambil wang itu.
Pada Mei tahun lalu, dia membuka akaun di Facebook dan menyamar sebagai seorang wanita yang menawarkan peranti Bluetooth bagi topi keledar untuk dijual pada harga $30 satu set, sedangkan dia tidak mempunyai sebarang pembekal mahupun barang itu.