SEORANG wanita yang dilanggar teksi semasa melintas jalan di Lavender Street berhampiran Kempas Road ketika menggunakan telefon bimbit, telah mengundang komen warga Internet agar pejalan kaki lebih berhati-hati.
Rakaman video dalam kemalangan yang berlaku pada Jumaat lalu diedarkan secara meluas di media sosial, menunjukkan wanita itu seolah-olah menggunakan telefon bimbitnya ketika melintas di jalan raya di tengah-tengah lalu lintas yang tidak bergerak.
Beliau tidak menggunakan lintasan pejalan kaki yang ditetapkan.
Menerusi video itu, kejadian itu dilihat berlaku di kawasan Bendemeer pada 3.12 petang.
Klip tersebut menunjukkan wanita itu menyeberang jalan sebelum berhenti di tengah-tengah lorong paling kiri.
Tidak lama selepas itu, sebuah teksi melanggarnya. Teksi tersebut berhenti manakala wanita itu terjatuh.
Pemandu teksi kemudian keluar dari teksinya untuk membantu wanita itu. Wanita itu mampu berdiri dan pemandu teksi membantunya menunjukkan arah untuk ke tepi jalan.
Rakaman kemalangan itu dimuat naik di beberapa halaman Facebook termasuk SG Road Vigilante dan District Singapore.
Seorang pengguna Facebook berkata: "Jangan gunakan telefon semasa menyeberang jalan. Pastikan menyeberang dengan selamat sebelum menggunakan telefon bimbit.''