Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dilema pembuat songkok terakhir

Rancang bersara tetapi masih fikirkan siapa akan teruskan seni warisan dan jenama pusaka 'Songkok Cap Beca' buatan Singapura
Jan 21, 2019 | 05:30 AM



KEDAI Haji Abdul Wahab Bin Abdullah di tingkat bawah Tanjong Katong Complex kelihatan seperti toko pakaian dan busana lain - menjual pakaian kaum Adam seperti baju, jubah, butang, songkok, capal dan pelbagai aksesori lain.



Dari luar, kelihatan baju, jubah dan songkok digantung rapat. Rak kuih juga tersusun rapi di pintu masuk. Di dalam, terdapat deretan capal di sebelah kiri dan kotak-kotak songkok yang telah siap dijahit di kanan.



Di sudut kanan dalam kedai itu, kelihatan seorang pak cik duduk di belakang sebuah mesin jahit dan dengan tekun menjahit dan menggosok rangka songkok yang belum dibaluti baldu.



Sesekali apabila ada pelanggan, lelaki dalam lingkungan usia 60-an tahun itu akan meninggalkan mesin jahit tersebut dan melayan kehendaknya.



"Encik nak cari songkok dan capal?" demikian dialognya memulakan bicara. Beliau akan berbual, mengambil tahu tujuan dan menasihatkan pelanggan yang datang hingga puas, yang biasanya berakhir dengan pembelian dan tempahan.



Dan kemudian beliau akan kembali ke mesin jahitnya menyambung kerja.



"Inilah kerja saya sejak 37 tahun lalu," jelas Encik Abdul Wahab, 59 tahun, pembuat songkok terakhir di Singapura yang masih meneruskan pekerjaannya secara sepenuh masa.



"Saya mula belajar membuat songkok dan menjahit dengan tangan daripada arwah ayah saya ketika saya baru berusia tujuh tahun.



"Beliaulah yang memulakan perniagaan membuat songkok ini dengan memperkenalkan jenama 'Cap Beca' kerana beliau asalnya seorang penarik beca."



Pada 1982, ketika berusia 22 tahun, Encik Abdul Wahab membuka kedainya sendiri di Pasar Geylang Serai lama selepas mewarisi perniagaan membuat songkok itu daripada ayahnya sebelum berpindah ke Tanjong Katong Complex pada 2003 apabila pasar lama itu dirobohkan.



Ketika baru membuka kedai dulu, persaingan dalam pembuatan songkok dijahit sendiri agak sengit kerana ramai tahu menjahit, kata Encik Abdul Wahab, yang sudah mahir membuat songkok pada usia 12 tahun.



"Kini selepas 37 tahun, sayalah seorang yang tinggal," dengan perasaan bercampur baur.



Kepenatan terpapar pada raut wajahnya. Namun, riak-riak keletihan itu disembunyikan setiap kali ada pelanggan yang datang.



Pada kebanyakan hari, isterinya, Cik Fadzilah Jantan, 58 tahun, akan membantu melayan pelanggan, sementara Encik Abdul Wahab meneruskan jahitan dan kerja menyiapkan songkok.



"Saya pernah terfikir bersara. Maklumlah modalnya banyak, sewanya mahal.



"Kalau di Pasar Geylang Serai lama dulu, sewa kedai $75 sahaja, paling mahal $150. Kini bayaran sewa, bil elektrik dan penyelenggaraan mencapai sehingga $5,000 sebulan.



"Pendapatannya pula bukanlah lumayan sangat. Kalau ketika baru-baru membuka kedai dulu, saya boleh menjual sekitar 200 hingga 300 songkok sebulan, sekarang kalau dapat jual 20 atau 30 sudah cukup bagus.



"Itulah sebabnya saya turut menjual capal, baju Melayu, jubah, kain samping dan aksesori pakaian lain untuk mencukupkan duit sewa," ujar beliau.



Menurut Encik Abdul Wahab, isterinya pernah mencadangkan mereka menutup kedai dan berniaga secara musiman di bazar Ramadan sahaja memandangkan ketiga-tiga anak mereka - dua lelaki dan seorang perempuan - sudah pun bekerja.



"Itulah yang sedang saya timbangkan. Tetapi rasa sayang pada seni pembuatan songkok tetap ada. Maklumlah kemahiran ini diajarkan sendiri oleh ayah saya.



"Sebenarnya, niaga membuat songkok ini ada masa depan, pertamanya kerana tidak ada persaingan. Saya seorang sahaja yang menjalankan kerja ini secara sepenuh masa," terang Encik Abdul Wahab.



Menurut satu laporan dalam 2015, terdapat sebuah lagi kedai pembuat songkok di kawasan Arab Street. Namun, pembuatnya sudah berusia lanjut dan berhenti membuat songkok kerana penglihatan yang sudah tidak jelas. Difahamkan pada ketika itu, kedai tersebut menggajikan dua pekerja.



Kedua, tambah beliau, kerana masih terdapat permintaan bagi songkok buatan sendiri.



"Menerusi promosi di Facebook, songkok buatan kami dikenali dan mendapat tempahan dari dalam dan luar negara oleh bangsa asing. Ada yang menempah sejauh dari Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.



"Cuma itulah. Dalam niaga membuat songkok ini, duit masuknya perlahan. Budak-budak sekarang hanya mahu menceburi pekerjaan yang mendatangkan pulangan yang cepat," tambah Encik Abdul Wahab sambil berkata beliau telah pun menurunkan semua kemahiran yang perlu dalam pembuatan songkok pada ketiga-tiga anaknya.



Yang sulung lelaki seorang penasihat kewangan; kedua perempuan, pengurus jualan di Lapangan Terbang Changi; dan ketiga lelaki, pegawai polis.



Beliau menaruh harapan anak sulungnya, yang lebih teliti menjahit, akan mengambil alih perniagaan itu apabila beliau bersara. Anak bongsunya pula ditugaskan menguruskan jualan di Facebook.



"Dengar-dengar ada rancangan Tanjong Katong Complex ini akan dirobohkan dalam 2022 selepas rancangan itu ditunda daripada 2012. Kalau itulah rancangannya, mungkin saya akan bersara pada ketika itu.



"Anak sulung saya ada menyuarakan hasrat mengambil alih sepenuhnya perniagaan ini, tetapi buat masa ini beliau mahu saya meneruskan selagi saya kuat.



"Apabila tiba masanya nanti, saya serahkanlah kepada anak-anak saya membuat keputusan. Asalkan kemahiran membuat songkok ini tidak hilang begitu sahaja dan jenama Cap Beca yang diperkenalkan datuk mereka terus berada dalam pasaran," ujar Encik Abdul Wahab mengakiri perbualan.




PANDUAN BELI SONGKOK YANG BETUL



"Tugas saya sebagai pembuat songkok bukan setakat menjual songkok, tetapi menasihatkan pembeli cara membeli songkok agar sesuai dengar raut wajah, bentuk badan dan kena pada majlis," jelas Encik Abdul Wahab Abdullah.



Untuk membeli songkok, seseorang perlu:



1. Melihat pada bentuk muka dan saiz badan



- kalau kepala kecil dan orangnya pun kecil, lebih sesuai pilih songkok yang tingginya 4 inci ke bawah (ukuran yang digunakan dalam pembuatan songkok). Songkok yang terlalu tinggi akan menyebabkan pemakai seolah-olah mempunyai kepala lebih besar



- lelaki badan sederhana dengan muka bujur sireh atau bulat sesuai memakai songkok berukuran 4 atau 4 inci setengah. Orang yang memiliki bentuk muka yang tinggi dari dagu ke dahi tidak sesuai memakai songkok berukuran lebih 4 inci kerana kepalanya akan kelihatan lebih panjang



- lelaki bertubuh besar bermuka bulat lebih sesuai memakai songkok 4 inci setengah ke atas kerana sepadan dengan saiz kepala.



2. Padankan dengan majlis



- Ada kalanya warna songkok ikut warna baju yang dipakai, terutama bagi pengantin



3. Ikut bajet



Baldu bermutu tinggi seperti jenis JB Martin yang diimport dari Amerika Syarikat lebih mahal, manakala baldu biasa buatan Korea Selatan lebih murah



Jaga songkok:



Perlu rajin diberus dan disimpan dalam kotak. Elak pakai berus jenis roller kerana ia boleh merosakkan baldu




"Dengar-dengar ada rancangan Tanjong Katong Complex ini akan dirobohkan dalam 2022... Kalau itulah rancangannya, mungkin saya akan bersara pada ketika itu.

Anak sulungnya saya ada menyuarakan hasrat mengambil alih sepenuhnya perniagaan ini, tetapi buat masa ini beliau mahu saya meneruskan selagi saya kuat.

Apabila tiba masanya nanti, saya serahkanlah kepada anak-anak saya membuat keputusan. Asalkan kemahiran membuat songkok ini tidak hilang begitu sahaja dan jenama Cap Beca yang diperkenalkan datuk mereka terus berada dalam pasaran."

- Encik Abdul Wahab Abdullah, pembuat songkok sepenuh masa terakhir di Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >