Subuh
5:35
Syuruk
6:51
Zuhur
12:56
Asar
4:03
Maghrib
6:58
Isyak
8:06
Setempat

KORONAVIRUS

Dipinggir, dijerit tapi petugas barisan depan tidak undur

Feb 20, 2020 | 05:30 AM

BERJUANG di barisan hadapan semasa penularan Covid-19 begitu besar cabaran dan menduga kesabaran.

Kadangkala, mereka dipinggirkan oleh sesetengah orang dan juga didiskriminasi kerana bertugas di hospital ataupun tempat perubatan.

Namun ini tidak melentur semangat Cik Surinah Abdullah, antara srikandi yang berjuang dalam sektor kesihatan, yang komited untuk berkhidmat kepada pesakit tanpa mengira bangsa dan latar belakang.

Beliau berkata, dengan peningkatan Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) ke Jingga, ramai orang lebih peka apabila mereka melawat doktor di poliklinik.

Berkongsi pengalamannya sebagai kakitangan di barisan hadapan, Cik Surinah berkata:

"Ada antara mereka yang tidak mengikut protokol dan tidak mengisytiharkan penyakit yang mereka hidap dengan jujur. Ini membuatkan tugas kita lebih mencabar apabila kami mengendali pesakit ataupun pelawat.

"Saya pernah dijerit oleh pesakit semasa saya mahu melekatkan pelekat di bajunya. Pesakit itu kata bahawa saya 'tidak bersih' dan tidak sepatutnya menyentuhnya."

Sejak penularan koronavirus ini, beliau diberi tugas untuk mengimbas pesakit di kawasan pendaftaran dan mencatatkan jejak perjalanan pelawat.

Cik Surinah memikul tugasan tambahan ini selain daripada tugasan sehariannya membantu pesakit dengan pendaftaran mereka, membuat janji temu serta membantu pelawat di Poliklinik Ang Mo Kio.

Walaupun beliau diberi tugas yang mencabar, ibu empat anak itu meneruskan pekerjaannya dengan penuh semangat.

Menurut Cik Surinah, ini bukan kali pertama beliau terlibat dalam operasi yang dicetuskan untuk menangani kecemasan kesihatan sedunia di Singapura. Beliau telah menjalankan operasi serupa bagi pandemik H1N1 pada 2009.

"Sebagai seorang ibu, saya ingin menjadi contoh kepada anak-anak saya yang dalam keadaan seperti ini kita perlu berfikiran positif dan teruskan dengan kehidupan kita seperti biasa," kata ibu tunggal itu yang juga sedang menjaga ibunya yang sakit yang berumur 63 tahun.

Semasa bertugas, Cik Surinah memastikan beliau menggunakan pelitup dan jika perlu, memakai peralatan perlindungan diri.

Di rumah pula, ibu yang berumur 39 tahun itu telah mengambil langkah-langkah pencegahan untuk memastikan keluarganya menjaga kebersihan dan juga meningkatkan pengambilan vitamin C untuk melindungi kesihatannya.

"Sebelum pulang ke rumah saya akan tukar baju dan juga memastikan saya sudah mandi sebelum memeluk anak-anak saya di rumah.

"Selain itu, kami sekeluarga juga memeriksa suhu badan untuk memastikan kita tidak ada simptom virus itu," ujarnya.


"Saya pernah dijerit oleh pesakit semasa saya mahu melekatkan pelekat di bajunya. Pesakit itu kata bahawa saya ‘tidak bersih' dan tidak sepatutnya menyentuhnya.
...Sebagai seorang ibu, saya ingin menjadi contoh kepada anak-anak saya yang dalam keadaan seperti ini kita perlu berfikiran positif dan teruskan dengan kehidupan kita seperti biasa."

– Cik Surinah Abdullah

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian