DUA lelaki ditangkap minggu ini kerana disyaki terbabit dalam satu siri penipuan bayaran balik pembelian dalam talian, kata polis pada Sabtu (18 Ogos).
Mereka, kedua-duanya berusia 23 tahun, didakwa menipu sebuah platform beli-belah dalam talian kira-kira $25,900 dalam penipuan bayaran balik.
Ini didakwa dilakukan melalui lebih 39 kes, antara Ogos tahun lepas dan Mac tahun ini.
Mereka dipercayai membuka pelbagai akaun dengan butir-butir berbeza, dan membuat pesanan bagi barangan bernilai tinggi seperti bahagian komputer permainan, telefon bimbit dan makanan tambahan, kata polis.
Setelah menerima pesanan itu, mereka mendakwa kononnya tidak menerimanya.
Mereka dikatakan kemudian memfailkan permohonan bayaran balik, dan menyenaraikan barang yang diterima itu untuk dijual semula secara dalam talian.
Menurut akhbar The Straits Times, ia difahamkan bahawa platform terlibat ialah laman beli-belah dalam talian utama.
Polis menerima laporan pada 1 Ogos mengenai banyak transaksi bayaran balik mencurigakan berlaku di platform itu.
Pegawai daripada Divisyen Polis Central mengenal pasti dua suspek itu selepas siasatan di lapangan dan siasatan susulan. Mereka ditangkap secara berasingan pada Isnin dan Selasa lalu, di Lorong 5 Toa Payoh dan Ang Mo Kio Avenue 1.
Barang curian berjumlah kira-kira $15,000 juga didapatkan semula daripada mereka.
Siasatan masih dijalankan.
Sekiranya didapati bersalah menipu dan secara tidak jujur menyebabkan barangan dihantar, kedua-duanya boleh menghadapi hukuman denda dan penjara hingga 10 tahun.