Seorang doktor berusia 82 tahun itu digantung selama setahun dan dikenakan denda $10,000 kerana membekalkan ubat batuk kepada tiga samseng Malaysia yang bukan pesakitnya, umum Majlis Perubatan Singapura (SMC) dalam satu kenyataan media pada Selasa (15 Mac).
Dr Benny Cheng Shao Lin mengaku bersalah terhadap lima tuduhan di bawah Akta Racun dalam satu suasatan Tribunal Tatatertib pada 5 Jan lalu.
Sebanyak 37 tuduhan lagi diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Beliau menjual ubat batuk Dhasedyl sebanyak 500 botol 120ml tiga kali pada Mac 2012, dengan mendapat keuntungan $4,000.
Pada waktu itu, beliau menjadi doktor berdaftar di Clifford Dispensary Jurong di Block 176 Boon Lay Drive.
Di bawah akta itu, doktor boleh memberi ubat batuk tersebut hanya untuk tujuan merawat pesakit sendiri.
Dr Cheng juga dikecam dan dikehendaki memberi suatu akuan bertulis kepada SMC bahawa beliau tidak akan melibatkan diri dalam perlakuan sama atau serupa lagi.
Beliau juga diarah membayar kos siasatan itu dan yang berkaitan dengannya.
Tribunal Tatatertib itu menimbangkan hakikat Dr Cheng mengambil keputusan menutup kliniknya pada awal April 2012 untuk mengelakkan berurusan dengan samseng itu lagi.
Penggantungannya berkuat kuasa mulai 17 Feb dan berakhir pada 16 Feb 2017.